Selebriti

“Berangan nak jadi Tokti, cerminlah muka”, Kelly Azman menangis dihina netizen

|||KELLY Azman menangis dihina netizen.
- Diterbit 27 April 2023 6:57 PM MYT

SELEBRITI serba boleh Kelly Azman mengaku kecewa dengan hinaan dan kata-kata kesat yang dilemparkan netizen kepadanya.

Ini semua gara-gara penyanyi lagu Dustakan Cinta itu menyanyikan semula lagu raya berjudul Anugerah Aidilfitri nyanyian asal penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

AKSI-aksi Kelly Azman dalam video muzik lagu Anugerah Aidilfitri yang dinyanyikannya semula.

Apa yang membuatkan sesetengah netizen tidak berpuas hati apabila mereka mendakwa Kelly tidak telah ‘merosakkan’ lagu kegemaran ramai itu. Bukan itu sahaja, video muzik yang seolah-olah meniru gaya Siti Nurhaliza juga dikecam peminat.

“Berangan nak jadi Tokti (panggilan buat Siti Nurhaliza), cerminlah muka dulu. Suara ‘kelaut’ ada hati nak cover lagu Tokti.

“Itulah antara kata-kata netizen yang seolah-olah sakit hati sangat dengan apa yang saya lakukan. Ada yang lagi teruk tapi saya tak mahu kongsikan. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?

“Saya tak diminta dipuji. Jauh sekali nak minta orang cakap bagus. Saya sekadar nak berkongsi bakat yang ada sekaligus memeriahkan hari raya dengan merakamkan semula lagu Anugerah Aidilfitri itu,” jelas Kelly yang turut mengagumi Siti Nurhaliza sebagai inspirasi.

KELLY Azman menangis dihina netizen.

 

Kelly yang merupakan pengacara rasmi acara StarVendors juga akui, jika selama ini dia begitu ‘kebal’ dengan kecaman netizen, namun Kali ini dia agak tersentuh.

“Selama ini saya kuat dan boleh terima apa sahaja yang netizen hina saya. Saya tak tahu kenapa, kali ini betul-betul buat saya rasa down sehingga menangis. Mata tak boleh lelap. Selera makan pun tak ada.

“Mungkin disebabkan setelah sekian lama apa yang saya lakukan tidak pernah dihargai. Saya tak kisah mereka nak kritik saya, tapi biarlah kena caranya. Bukan dengan maki hina.

“Orang nampak saya kuat dari luaran. Jujurnya saya tidak sekuat itu. Saya ni manusia biasa. Ada hati dan perasaan.

“Hargailah sikit apa yang saya buat untuk menghiburkan masyarakat dengan cara saya. Setiap orang ada cara masing-masing kan,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas