KEMAJUAN teknologi AI amat dikagumi hari ini. Namun terdapat segelintir individu yang menyalahgunakannya. Sekiranya tidak dibendung, ia akan membawa masalah kepada ramai pihak.
Perkara tersebut didedahkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.
“Sudah ada artis yang mengadu wajah dan suara mereka digunakan sebagai wajah iklan untuk sesuatu produk, walhal mereka sendiri tidak terlibat langsung dengan produk atau barang tersebut.
“Bagaimanapun ada juga yang tidak menyedari menjadi mangsa sebaliknya peminat atau netizen yang menyedari perkara tersebut. Apa yang membimbangkan apabila ada pihak yang mempercayai iklan tersebut.
“Dapat atau tidak produk yang diiklankan, saya tidak pasti tetapi mereka secara tidak langsung memberi keuntungan pada syarikat itu. Walhal artis yang digunakan sebagai wajah iklan tidak mendapat apa-apa manfaat,” ujarnya.
Pada masa sama, Zed memaklumkan pihak SENIMAN tidak merancang untuk mengambil tindakan susulan tetapi mencadangkan kepada Kementerian Digital dan Menterinya, Gobind Singh Deo untuk berbuat sesuatu.
“Kalau kes ini melibatkan banyak artis dan mereka mendapatkan SENIMAN untuk tindakan susulan, baru boleh kita usulkan. Kalau seorang dua, pihak SENIMAN cuma boleh uar-uarkan dan merekalah yang perlu ambil tindakan susulan seperti laporan polis dan sebagainya.
“Atas faktor itu, pihak kementerian juga perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung sebelum ia menjadi barah,” tegas Zed. – WILAYAHKU