Selera

Belut eksotik tumpuan warga Putrajaya

- Diterbit 16 Disember 2024 7:10 PM MYT

BELUT merupakan salah satu hidangan eksotik yang mempunyai penggemarnya tersendiri. Jika di Putrajaya‚ Restoran A Raa Thai Tomyam merupakan satu-satunya lokasi yang menghidangkan aneka jenis belut untuk santapan warga setempat mahupun sekitarnya.

Menurut pemiliknya‚ Mohd Shahrul Nyzam Mat Il‚ idea untuk mengetengahkan hidangan belut tercetus memandangkan agak sukar baginya mencari restoran yang menawarkan menu tersebut.

“Saya berasal dari Kelantan dan kalau di sana hampir setiap kedai menawarkan menu belut dengan pelbagai jenis masakan namun senario tersebut tidak berlaku di sini khususnya Putrajaya dan kerana itu saya membuat keputusan untuk menjual menu tersebut di kedai saya‚” katanya.

Mohd Shahrul berkata inisiatifnya memperkenalkan menu tersebut dapat membuka mata orang ramai mengenai keenakannya.

“Antara masakan yang ditawarkan di sini adalah sup belut‚ belut goreng kunyit‚ belut paprik‚ maggi tomyam belut dan belut pad phet yang mana ia merupakan menu asal dari Thailand.

“Kesemua menu ini dimasak dan disediakan oleh cef kami yang diimport dari Thailand jadi pastinya ia merupakan masakan terbaik buat penggemar belut.

“Mereka adalah tukang masak yang pakar dalam hidangan belut‚ daripada cara siang belut‚ membersihkannya serta memasaknya mempunyai teknik tersendiri yang akan membuatkan pelanggan merasa ia seolah-olah tidak ubah seperti ikan darat.

“Saya tahu‚ belut bukanlah makanan yang digemari ramai dan kerana itu‚ cara memasak serta campuran rempah-ratus yang digunakan untuk memasaknya perlu diberi perhatian supaya ia dapat membangkitkan selera‚” ujarnya menu yang berasaskan belut di kedainya tidaklah terlalu pedas.

Mengulas lanjut‚ Mohd Shahrul berkata masakan belut di kedainya juga adalah berbeza berbanding tempat lain lebih-lebih lagi mereka menyajikan belut segar yang diambil daripada pembekal.

“Pada mulanya agak sukar untuk mendapatkan pembekal namun setelah melalui beberapa proses‚ kita berjaya mendapat sebanyak lima kilogram (kg) belut pada setiap hari.

“Meskipun menu belut ini baru diperkenalkan sejak tiga bulan lalu namun maklum balas yang kita terima sangat positif. Agak mengejutkan‚ kita juga sudah pun mempunyai pelanggan tetap.

“Rata-rata pelanggan kami memberitahu‚ sudah lama mereka mencari kedai yang menawarkan menu belut dan restoran ini menjadi tempat bagi mereka menghilangkan rasa mengidam.

“Seperti kita semua ketahui belut juga mempunyai pelbagai manfaat dan baik untuk kesihatan. Jadi agak merugikan kalau anda tidak mencuba‚” ujarnya memberitahu Restoran A Raa Thai Tomyam baru sahaja disenaraikan sebagai Top Sale 2024 Food Panda.

PELANGGAN MEMAHAMI

Berkongsi cabaran terbesarnya sepanjang menjalankan perniagaan adalah ketika tempoh pandemik yang melanda negara dua tahun lalu.

“Ketika pandemik‚ saya percaya semua perniagaan menerima tempias dan saya juga tidak terkecuali namun berpegang pada prinsip‚ saya sanggup melakukan apa sahaja asalkan tidak menutup perniagaan ini.

“Tidak dinafikan dengan kenaikan harga barang kini turut memberi kesan namun saya bersyukur kebanyakan pelanggan sangat memahami dan tidak kisah dengan kenaikan harga menu di sini‚” ujarnya.

Dalam pada itu‚ Mohd Shahrul turut mengharapkan agar perniagaannya terus berkembang maju sekali gus dapat menarik lebih ramai pelanggan.

“Buat masa ini kita tidak merancang untuk membuka mana-mana cawangan baharu dan sekiranya ada rezeki untuk berbuat demikian saya mahukan kedai di lot hujung kerana kawasannya yang strategik serta mempunyai keluasan parkir yang lebih besar.

“Untuk mereka yang berminat merasai masakan belut‚ boleh dapatkan di kedai kami atau dalam talian melalui ShoppeFood‚ foodpanda dan GrabFood‚” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas