Berita

“Belum pernah alami kejadian dibaling skrip dan dimaki hamun”- Aniq Durar

- Diterbit 16 November 2024 6:00 AM MYT

PELAKON drama Luruhnya Bunga Cinta 2, Aniq Durar, 31, bersyukur tidak pernah melalui pengalaman dibaling skrip mahupun dimaki hamun ketika di set penggambaran.

Aktor yang membuat kemunculan dalam dunia lakonan dua tahun lalu menerusi filem Pagari Bulan, berkata setakat ini layanan diterima daripada pelakon senior cukup baik. Malah mereka juga tidak pernah lokek berkongsi ilmu.

“Setakat ini semuanya baik saja, saya tak pernah lagi dibaling skrip atau dimaki hamun. Cuma saya mengaku pernah menangis di set kerana sedikit tertekan tidak tahu tentang pergerakkan kamera.

“Tiada siapa nampak saya menangis, saya menuju ke kereta dan menangis sendirian. Saya juga menghubungi seorang rakan dan selepas luahkan semuanya barulah saya berasa lega. Tapi sekarang ini saya sudah dapat menyesuaikan diri dan tak lagi kekok.

“Kalau ada benda yang saya tak faham, saya tak teragak-agak untuk bertanya kepada pelakon senior. Mereka tak lokek pun nak mengajar, contohnya sewaktu berlakon dalam drama Alice Kampung Baru, Sazzy Falak salah seorang pelakon senior yang sangat membantu,” kata Aniq yang ditemui pada sesi ramah mesra bersama penonton drama Luruhnya Bung Cinta 2.

Bagaimanapun kata Aniq, dia tidak menyokong sekiranya wujud kejadian buli di lokasi penggambaran. Katanya, semua pelakon adalah umpama sebuah keluarga dan sepatutnya pelakon senior dan baru bekerjasama dengan baik.

“Pelakon baru pun kenalah tunjuk insiatif, kalau tidak tahu jangan segan untuk bertanya dan tegur menegurlah dengan pelakon yang lebih senior. Saya yakin jika mereka bersikap rendah diri dan hormat, pelakon senior pasti akan melayani mereka dengan baik,” kata Aniq.

Baru-baru ini kecoh seorang pelakon baru,Alif Muhaimin mendedahkan budaya buli dalam kalangan pelakon senior dan junior masih lagi berlaku sehingga hari ini.

Katanya, dia juga pernah berhadapan dengan situasi dibuli oleh kru produksi sehingga membuatkannya ingin berhenti berlakon.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas