Berita

Belia perlu gembleng tenaga bantu negara

MOHD AZHARI (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara 2023 kepada johan kategori individu lelaki. Turut sama Azman (empat dari kiri).
- Diterbit 6 Ogos 2023 3:00 AM MYT

GOLONGAN belia khususnya di Labuan perlu bangkit dan memperkukuhkan ­iltizam selari dengan tema Sambutan Hari Belia Negara 2023, ‘Ini Masa Kita’ untuk menggembleng tenaga membangunkan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad berkata usaha ini seharusnya diterajui sendiri oleh golongan belia ­termasuklah pertubuhan dan kepimpinan belia itu sendiri.

“Ia selaras dengan usaha melahirkan belia Malaysia yang sejahtera dan ­berdaya saing, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) giat melaksanakan pelbagai program dan ­aktiviti pembangunan belia dan sukan di seluruh negara.

“Program dan aktiviti yang ­dijalankan adalah bertujuan memperkasakan belia dan pada masa yang sama mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Ahad lalu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohammad Syahffie Japril dan Presiden Majlis Belia Labuan, Nazera Roslan.

Azhari berkata antara program dan ­aktiviti berimpak tinggi yang boleh ­disertai ialah Social Entrepreneurship for Rural Youth (SERY), Agro Belia, Jelajah Genta Belia, Liga Sukan Komuniti, Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara.

“Saya juga ingin menyeru semua ­untuk turut sama menyertai Program Rakan Muda yang telah diberikan nafas baharu yang lebih segar dan menepati cita rasa anak muda,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas