Berita

Belanjawan DBKL 2022: Inisiatif Hijau, Program Rendah Karbon, tenaga boleh baharu terus menjadi fokus DBKL

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya telah menyediakan peruntukan berjumlah RM27.3 juta untuk melaksanakan inisiatif tersebut.
- Diterbit 21 Disember 2021 11:47 AM MYT

INISIATIF Rendah Karbon, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu terus menjadi fokus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mencapai sasaran bandaraya neutral karbon sebanyak 70 peratus menjelang tahun 2050.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah menyediakan peruntukan berjumlah RM27.3 juta untuk melaksanakan inisiatif tersebut dan sektor pengangkutan telah dikenal pasti bagi tujuan itu.

“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan pelepasan karbon adalah pelaksanaan perkhidmatan bas GOKL untuk 11 laluan di Kuala Lumpur secara percuma bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan warga kota.

“Selain itu, penggunaan bas elektrik GOKL telah diperkenalkan pada tahun 2021 di mana 22 unit bas elektrik GOKL akan beroperasi pada tahun 2022. Penggunaan bas elektrik ini akan mengurangkan pelepasan karbon berbanding pembakaran bahan bakar diesel dan petrol,” katanya dalam ucapan Belanjawan DBKL 2022 pada Selasa.

Mahadi berkata, pihaknya turut menyediakan peruntukan sebanyak RM9.2 juta bagi meneruskan pelaksanaan projek laluan basikal sebagai tambahan kepada sembilan laluan basikal sepanjang 38.9 kilometer (km) yang sedia ada. Ia bagi menggalakkan warga kota menggunakan basikal di samping memberikan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Selain itu, katanya, sejumlah RM8.5 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan stesen LRT ke kawasan tumpuan bagi memastikan kesalinghubungan dalam perkhidmatan pengangkutan awam.

“Tempat Letak Kereta (Park & Ride) juga telah dibina untuk memudahkan warga kota dan menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, peruntukan untuk inisiatif hijau, dan penggunaan tenaga boleh baharu di Kuala Lumpur turut akan diberi penekanan pada tahun 2022.

“DBKL akan memasang beberapa panel solar di bangunan dan fasiliti di sekitar Kuala Lumpur dan di antara kawasan yang telah dikenal pasti adalah di Pusat Komuniti, Taman Pudu Ulu, Dewan Serbaguna Ampang Hilir, Perpustakaan Stadium dan Kompleks Sukan,” katanya sambil menambah ia adalah usahasama DBKL bersama agensi-agensi lain.

Beliau turut menyeru syarikat swasta agar menyahut usaha DBKL dengan lebih meluas seperti kompleks beli-belah AEON yang telah mengambil tindakan untuk menaik taraf bangunannya di Wangsa Maju dan Setiawangsa menggunakan teknologi dan pendekatan rendah karbon.

“Segala usaha ini adalah selari dengan komitmen Kuala Lumpur dalam misi menjadi bandar bertaraf dunia, boleh didiami, mampan, berdaya huni dan berdaya tahan untuk semua,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas