KEBANYAKAN penjawat awam ketika ini dapat menarik nafas lega kerana mereka bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai penghujung tahun 2024 yang mana sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji ini adalah pada kadar 13 peratus.
Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM), Dr Nurul Huda Hamzah, meskipun kenaikan gaji ditawarkan namun penjawat awam mesti terus berusaha dalam meningkatkan taraf hidup mereka dan antaranya adalah dengan meningkatkan taraf pendidikan.
“Mengambil kira cabaran di mana tahap pendapatan dan simpanan wang yang mungkin terhad, melanjutkan pengajian boleh membuka peluang kepada pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang jauh lebih tinggi pada masa hadapan.
“Beberapa langkah boleh dipertimbangkan oleh penjawat awam antaranya dengan mendapatkan biasiswa dan pinjaman pendidikan. Jika bantuan biasiswa berjaya diperolehi, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan dan membolehkan mereka fokus pada pengajian,” katanya.
Nurul Huda berkata penjawat awam juga boleh mempertimbangkan untuk menyambung pengajian secara sambilan atau melalui program dalam talian di mana ia membolehkan mereka untuk terus bekerja sambil belajar dan kosnya mungkin jauh lebih rendah berbanding program sepenuh masa.
“Selain itu, mereka boleh memilih untuk menguruskan kewangan yang bijak dengan kaedah menabung, membuat pinjaman bank dan mempertimbangkan bantuan majikan melalui bantuan kewangan serta program pinjaman pengajian yang ditawarkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam UM, Dr Hanira Hanafi berkata kerajaan turut memberi tumpuan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.
“Ia jelas apabila Belanjawan 2025 dibentangkan, pelbagai bantuan perniagaan, pekerjaan, pendidikan, inisiatif percukaian dan kesejahteraan komuniti OKU serta kebajikan dan pendidikan anak-anak autistik diberi tumpuan.
“Antaranya kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan, insentif buat majikan yang mengambil OKU bekerja, membina Pusat PERMATA baru di setiap negeri dan banyak lagi.
“Secara keseluruhan, Belanjawan 2025 Kerajaan Madani menekankan komitmen terhadap golongan OKU dengan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan penglibatan mereka dalam masyarakat selaras dengan objektif Dasar Orang Kurang Upaya serta mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan golongan OKU menerima sokongan yang diperlukan untuk menyertai dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Kesimpulannya, pencapaian Malaysia dalam menjadikan negara bahagia dan rakyatnya gembira agak baik di mana Malaysia menyaksikan peningkatan tahap kebahagiaan dalam kalangan rakyatnya yang mantap bagi tempoh 2020 hingga 2023, melepasi tahap global tahun ini, menurut syarikat penyelidikan pasaran Ipsos.
Ia dapat dilihat menerusi fokus serta inisiatif yang dilaksana kerajaan terhadap pembangunan ekonomi, menyediakan pendidikan berkualiti, infrastruktur serta kemudahan awam yang cekap dan
berkualiti. – WILAYAHKU