PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Malaysia merupakan negara ketigga tertinggi dunia bagi subsidi petrol.
Menurut beliau, harga petrol RON95 kita adalah antara termurah di dunia dengan kadar 2 ringgit 5 sen seliter, malah lebih murah berbanding Arab Saudi, pengeluar minyak utama dunia (RM2.94).
“Jika dibandingkan dengan harga negara serantau yang pendapatan rakyatnya lebih rendah daripada kita: Indonesia pada kadar RM4.45 dan Thailand pada kadar RM5.99.
“Tidak cukup dengan itu, cukai yang kita pungut pula antara yang terendah di ASEAN, yakni hanya 11.8 peratus kepada KDNK ketimbang Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus),” katanya ketika Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat.
Justeru itu, Anwar menegaskan, sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab meluaskan asas hasil.
“Mulai tahun hadapan, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat,” ujarnya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE