PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan telah melepaskan hampir 14 ribu kes muflis dengan hutang kecil di bawah 50 ribu ringgit telah dilepaskan daripada kebankrapan melalui Program Dasar Peluang Kedua.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di parlimen hari ini, Anwar berkata hasil pelaksanaan Dasar Peluang Kedua, Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 juga telah melepaskan secara automatik daripada pengisytiharan muflis bagi kes-kes semasa dan terkebelakang yang memenuhi syarat.
“Tahun hadapan, Dasar Peluang Kedua akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang punyai hutang tidak melebihi 200 ribu ringgit,” katanya.
Sementara itu, Belanjawan MADANI menyediakan RM10 juta ringgit tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri bagi membela nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan serta kes-kes kebajikan lain di luar negara. – WILAYAHKU