PANDANGAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan had usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun mendapat respons positif Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil.
Ketika ditemui Wilayahku di pejabat beliau di Putrajaya baru-baru ini, pendakwah terkenal itu secara peribadi berpandangan tiada halangan dengan apa yang disuarakan menteri berkenaan.
Cuma jelas beliau, perancangan itu perlu diurus secara baik supaya tidak menyekat peluang orang lain untuk mendapatkan pekerjaan.
“Sebab sekarang ini kehidupan berubah. Kos tinggi, dan kita tak boleh mengharapkan kehidupan kita berubah ke belakang, maksudnya kos jadi rendah, tak boleh, (kerana) dunia tidak berinteraksi sebegitu, ia akan sentiasa meningkat secara basic.
“Jadi kita memerlukan kerja yang agak lama, sebab itu saya galakkan orang bekerja. Kalau orang sudah pencen, kerja lagi, buat grab, ada investment, ada peningkatan supaya dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak habis begitu sahaja.
“Dalam (kehidupan) di Lembah Klang (khususnya), kita memerlukan lebih kurang RM1.7 juta untuk hidup dalam 20 tahun (selepas bersara) secara selesa, tiba-tiba tak mati lagi, daripada muzakki (orang yang mampu membayar zakat) jadi asnaf. Jadi ini nasihat saya, jangan cuba berfikir berhenti kerja. Bekerja selagi mana Allah SWT bagi kita tenaga, tetapi ia fleksibel, bukan bermakna kita bekerja zaman muda dahulu tetapi mesti ada income,” katanya.
Beliau memberikan sebab utama pandangan tersebut kerana kita diciptakan Allah SWT dengan dua tujuan kehidupan.
Pertamanya, beribadat kepada Allah dan tujuan kedua adalah membangunkan bumi ini dengan pekerjaan, dengan teknologi.
Umat Islam katanya jadi lemah bila hanya fikir beribadat sahaja.

“Ia mesti serentak, beribadat dan bekerja. Beribadat sampai bila? Sampai mati. Bekerja sampai bila? Sampai mati. Tiada istilah umur pencen. Pencen ini dari segi sistem sahaja. Tetapi kita peribadi ini tiada ruang untuk nak berehat. Nanti insya-Allah dah meninggal dunia, selesai.
“Tetapi saya ingin beritahu bahawa Barat, Jepun maju kerana mereka membina empat generasi. Yang pertama generasi suka bekerja; kedua, generasi yang menghargai waktu; ketiga, generasi yang kreatif; dan keempat, generasi yang menjadikan kreativiti itu sistem.
“Macam Apple, mati tuan dia, Apple masih berjalan. Jadi mensistemkan kepakaran. Kalau kita dapat membina empat generasi ini negara kita kalau nak buat penghapusan pencen pun orang tak takut. Kenapa orang takut? Sebab minda kita ini minda nak rehat. Bukan pencen itu kita nak suruh hapus tetapi kita nampak respons itu macam takut sedangkan kalau orang kerja swasta tak takut pun.
“Saya tidaklah berapa bimbang tak ada pencen sebab kita tak fikir untuk berhenti bekerja, boleh bawa grab. Yang penting suka bekerja. Point penting di sini adalah semua orang dituntut untuk suka bekerja,” tegas beliau.
Beliau memberi contoh suri rumah yang boleh buat macam-macam untuk menolong suami.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan (DOSM), satu keluarga yang ada dua orang anak (memerlukan) RM4,700 di Lembah Klang. Kalau gaji suami RM3,000, dia memerlukan RM1,700 lagi. Dan satu orang anak, menurut kajian, daripada dilahirkan sampai umur 21 tahun, si bapa kena mengeluarkan belanja seorang anak RM383,000 sehingga RM1.3 juta.
“Dengan angka ini, mana mungkin kita nak rehat?” soal beliau. – WILAYAHKU