Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Bekas setiausaha politik Hamzah Zainudin didakwa terima suapan RM350,000

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 23 Mei 2024 11:13 AM MYT

Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia didakwa menerima suapan wang tunai RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof selaku Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk polis PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas di sini, pada 4 petang, 4 Dis 2020 dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas