Berita

Bekas Presiden MIC, G Palanivel meninggal dunia

- Diterbit 17 Jun 2025 11:45 AM MYT

BEKAS Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini pada usia 76 tahun.

Mendiang yang pernah menerajui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merupakan antara tokoh utama politik daripada kaum no India di negara ini, dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Arkeologi Lembah Bujang pada 1973, sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai wartawan kanan pada 1977.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Penyunting Berita Dalam Negeri dan Ekonomi BERNAMA pada 1984 sebelum dipinjamkan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya ketika itu, Tun S Samy Vellu, antara 1987 hingga 1990.

Palanivel mula bergiat aktif dalam politik setelah menyertai MIC sebagai ahli biasa pada 1968, dan pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 1990, menang di kerusi Parlimen Hulu Selangor. Beliau kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga tewas pada 2008.

Pada 2010, Palanivel mengambil alih teraju kepimpinan MIC selepas Samy Vellu berundur, dan memimpin parti itu sehingga 2015.

Mendiang kembali ke Dewan Rakyat pada 2013 sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Sepanjang penglibatannya dalam pentadbiran kerajaan, beliau pernah memegang beberapa jawatan utama antaranya:

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2013–2015)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2011–2013)

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (2008–2011)

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2004–2008)

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (1999–2004)

Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Kesatuan (1995–1999)

Maklumat lanjut mengenai pengebumian akan dimaklumkan oleh pihak keluarga dalam masa terdekat.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas