BEKAS editor Majalah Mangga, URTV dan wartawan hiburan akhbar Utusan Malaysia, Rosli Manah, 58, yang terlantar sakit akibat komplikasi penyakit diabetes serta jangkitan kuman pada otak, menyebabkan beliau sukar bertutur dan memerlukan rawatan lanjut.
Rosli atau lebih dikenali dalam kalangan rakan media dan artis sebagai ‘Che Li’ ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kajang selama dua hari sebelum dipindahkan ke Zon Merah hospital berkenaan.
Menurut isterinya, Asma Ghani, 51, setelah suaminya tidak mengambil ubat kencing manis seperti yang dijadualkan ( skip), terdapat jangkitan pada otaknya hingga menyebabkan suaminya terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari sebelum dipindahkan ke Zon Merah Hospital Kajang.
.
“Che Li sudah menghidapi kencing manis sejak tujuh tahun lalu, namun setelah ada jangkitan kuman pada otak, dia tidak boleh bertutur dengan baik, saya akan tanya apa yang dia nak, baru dia jawab. Begitu juga rakan-rakan yang melawatnya, dia kata dia mengenalinya,” katanya ketika di temui pada Sabtu, di Hospital Kajang, Selangor.
Asma ditemui pada kunjungan Persatuan Karyawan Malaysia dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang menziarahi Rosli dan menghulurkan sumbangan kepadanya untuk bantuan keperluan yang diperlukan.
Asma berkata, doktor telah melakukan pembedahan pertama dan kedua untuk mengambil air tulang belakang namun jangkitan kuman pada otak Rosli masih ada dan berkemungkinan pembedahan seterusnya akan dilakukan sekiranya masih terdapat kuman terbabit dan melibatkan kos yang tinggi.
“Dia hanya tinggal di rumah setelah sakit, saya juga tidak bekerja, Sara hidup saya dan suami banyak diuruskan oleh anak- anak. Saya dan Che Li mempunyai 3 orang anak,”katanya.
Hasil perkongsian hidup dengan Che Li, mereka dikurniakan tiga zuriat, iaitu Dean Ilham, 29, Aasif Esfan, 28, dan Daniel Ashman, 20.
Sementara itu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata, dia mengenali Che Li sebagai seorang yang profesional dalam menjalankan tugas selain memahami segala isu dalam industri hiburan yang ditulisnya.
“Dia banyak menulis mengenai Karyawan, walaupun mereka (Wartawan Hiburan) bukan ahli, Tetapi mereka banyak menyumbang dari Segi penulisan, kejayaan Persatuan dan perjalanan Persatuan. Kita turut terhutang budi kepada golongan ini dan menganggap mereka sebagai rakan strategik,” Katanya.
Menurut Freddie, Karyawan sentiasa mencari dana yang berterusan untuk membantu bukan sekadar anak-anak seni malah kepada wartawan Hiburan yang menghadapi pelbagai masalah kesihatan.
“Kita akan cuba bantu untuk mana-mana Wartawan Hiburan yang mengalami masalah kesihatan, Kita perlukan dana yang berterusan. Atas faktor itulah, Karyawan sentiasa mengadakan majlis dan menjual meja. Dari situ Karyawan memperolehi pendapatan dan dapatlah disalurkan kepada golongan yang disasarkan,” katanya.
Timbalan Presiden, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Niezam Abdullah pula berkata ,sepanjang tempoh 30 tahun penglibatannya dalam penulisan hiburan, Rosli banyak memberi publisiti kepada penggiat seni, artis baharu dan lama untuk mempromosikan kerjaya mereka menerusi akhbar dan majalah di bawah kendaliannya.
“Sumbangan Rosli terhadap bidang seni dan hiburan tidak perlu dipersoalkan kerana banyak nama besar yang beliau telah bantu menerusi ruangan Kacak Bergaya kendaliannya di akhbar Mingguan Malaysia.
“Begitu juga ketika dia memikul tugas sebagai editor URTV dan majalah hiiburan Mangga, tanggungjawabnya untuk membantu industri seni tidak pernah dipinggirkani termasuklah dalam menyokong apa juga acara yang dianjurkan,” kata Niezam. – WILAYAHKU