Berita

Bekalan bawang mencukupi – KPDNHEP

- Diterbit 29 Oktober 2020 4:02 AM MYT

BEKALAN bawang dalam negara mencukupi dan stabil walaupun kerajaan India mengeluarkan larangan eksport bahan mentah itu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata susulan larangan berkenaan, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara lain seperti Pakistan, Thailand, Belanda dan China bagi menampung keperluan dalam negara.

Katanya, jumlah keseluruhan pengimportan bawang ke Malaysia dari Januari sehingga Ogos 2020 adalah sebanyak 340.2 juta kilogram (kg) bersamaan 42.5 juta kg sebulan secara purata.

“Terdapat 24 negara yang mengeksport bawang ke Malaysia dengan pengeksport terbesar ialah India (38 peratus), Pakistan (23 peratus), China (16 peratus), Belanda (lapan peratus) dan Thailand (lapan peratus).

“Jumlah pengimportan bawang dari negara India ialah sebanyak 127.96 juta kg dari jumlah keseluruhan pengimportan bawang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 14 Sept lepas, kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’ bagi menampung keperluan domestik negara itu ekoran bencana banjir yang berlaku pada Julai lepas.

Nanta berkata berdasarkan statistik semasa, secara purata rakyat Malaysia menggunakan 17 kg bawang setahun iaitu bersamaan 1.4 kg sebulan, menjadikan purata keperluan untuk rakyat Malaysia sebanyak 35.97 juta kg sebulan.

Menurutnya, sepanjang tahun ini kementerian tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu bekalan bawang.

“Bagaimanapun, pemantauan secara berkala dijalankan bagi memastikan tahap keberadaan bekalan bawang di pasaran adalah mencukupi meliputi semua rantaian pengimportan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun ini juga kementerian telah melaksanakan pemantauan bekalan ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah dan 1,039 pemborong terpilih daerah di seluruh negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas