Artikel

Bayar pinjaman PTPTN

- Diterbit 25 November 2024 6:58 PM MYT

ADAT meminjam‚ bayar kembali pada masa dijanjikan. Bayar secara penuh atau menurut jadual ditetapkan‚ yang penting jangan sengaja enggan bayar atau buat-buat lupa.

Ini reaksi kawan-kawan Kedai Kopi apabila membaca laporan 2.7 juta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum dibayar melibatkan tunggakan RM32 bilion. Sehingga tahun lepas PTPTN meluluskan 3‚951‚404 pinjaman dengan jumlah RM71 bilion.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi‚ Datuk Seri Zambry Abdul Kadir‚ sebanyak 2.8 juta pinjaman atau 72 peratus diberi kepada pelajar Bumiputera sementara 1.1 juta pinjaman atau 28 peratus pelajar bukan Bumiputera.

Tiada kuota dalam pemberian. Semua pelajar rakyat Malaysia yang dapat tempat di universiti awam dan swasta serta politeknik layak memohon. Antara syarat pinjaman ialah membayar balik tamat pengajian menurut jadual ditetapkan.

Hanya yang memperoleh ijazah kepujian kelas pertama dikecualikan daripada membayar. Ini sebagai dorongan kepada pelajar agar cemerlang. Namun apa yang berlaku ialah begitu ramai tidak membayar balik‚ melibatkan jumlah yang besar. Perlu diingat bayaran balik ini adalah tabung pusingan yang akan digunakan semula untuk memberi pinjaman kepada pelajar lain.

Kegagalan membayar balik boleh mengganggu PTPTN. Bagaimanakah ia mampu untuk terus memberi pinjaman? Hakikat ini mesti disedari oleh para peminjam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas