Berita

Baru rujuk dua minggu lalu… Siti Jamumall, Aiman cerai kali kedua

- Diterbit 15 Mei 2025 4:00 PM MYT

RIBUAN menjadi saksi apabila pempengaruh Siti Jamumall, 26, diceraikan talak dua oleh suaminya Aiman Tak Kesah atau nama sebenarnya Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, pada pagi Khamis.

Perceraian yang berlaku ketika siaran langsung di TikTok Siti Jamumall itu agak mengejutkan kerana sebelum ini kemelut rumah tangga mereka dikatakan sudah selesai

Ia adalah perceraian kedua pasangan itu selepas bercerai kali pertama kira-kira dua minggu lalu, namun kembali rujuk.

Rakaman ini kemudiannya tular apabila dikongsikan semula di pelbagai platform media sosial oleh pelbagai pihak.

Menerusi siaran langsung ini, pasangan terbabit bertengkar dan saling tuduh-menuduh sehingga emosi masing-masing tidak terkawal.

Aiman atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah dalam nada tersekat-sekat akhirnya menceraikan isterinya.

“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua,” katanya yang mengulangi perkataan terbabit sebanyak tiga kali.

Dia juga memaklumkan tidak mahu terus dipijak isterinya itu dan mahu mengembalikan semula maruahnya sebagai lelaki.

Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin yang mendengar lafaz cerai itu terus terdiam dan menitiskan air mata sehingga terpaksa ditenteramkan dua lelaki lain dipercayai pembantunya untuk siaran langsung ini.

Pasangan terbabit sebelum ini pernah bercerai dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu.

Namun, mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.

Siti kini hamil lima bulan hasil perkahwinan bersama Aiman. Dia turut mempunyai dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, 6; dan Putra Aiman Zafran, 4; hasil perkahwinan terdahulu dengan Mohammad Syafiq pada 2019 dan bercerai pada Disember 2022.

Perkahwinan Siti dengan Aiman berlangsung di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas