PELAKON Sharnaaz Ahmad, kehilangan bapa tercinta, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad, 78, pada jam 1.40 pagi tadi.
Pemergian Bazir dikongsikan pelakon itu menerusi akaun instagramnya.
Jenazah Bazir yang juga bekas pemuzik Orkes Teruna Ria, dibawa ke Masjid Jamek Shaik Eusoff, George Town, Pulau Pinang untuk disolatkan.
Majlis pengembumian pula dijangka akan diadakan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Kebun Lama.
“Bapa saya baru meninggal dunia pukul 1.40 pagi tadi. Jenazah dibawa balik ke Pulau Pinang, jadi kepada kenalan bapa saya Haji Ahmad yang berada di Pulau Pinang boleh sampaikan maklumat ini.
“Insyallah solat jenazah akan diadakan lepas solat asar di Masjid Jamek Shaik Eusoff.
“Sesiapa yang berkelapangan, dijemput datang. Kebumi selepas Asar,” katanya dalam hantaran video di Instagramnya.
Ahmad merupakan Tokoh Seni Budaya 2014, Pulau Pinang dan pernah menyertai Orkes Teruna Ria yang banyak mengiringi persembahan artis terkemuka pada era 1960-an antaranya The Platters, Francis Yip, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave Dan ramai lagi.
Lagu gubahan Allahyarham Bazir yang masih popular adalah Dara Pujaan , Siapa Bilang Aku Tak Sayang, Ayah Ku Kawin Lagi , Berjumpa Bermesra, Ibu di Madu Anak Menderita dan Antara Suami Isteri.
Allahyarham meninggalkan balu serta empat cahaya mata. – WILAYAHKU