PIHAK Syarikat Perbankan mesti membayar semula ganti rugi kepada mangsa penipuan (sacm) sekiranya ia didapati cuai sehingga berlaku jenayah penipuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan tertakluk di bawah undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
“Kalau dikenal pasti kecuaian (negligence bank), bank akan bayar umpamanya setakat ini mengikut Seksyen 413 KTJ, RM178,407 telahpun dipulangkan, maknanya ada.
“Tetapi seperti mana yang dikaitkan dengan undang-undang di UK, itu hanya jika dikenalpasti kecuaian pihak bank atau bank tidak memantau mengikut peraturannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang bertanyakan kesediaan Malaysia untuk memberikan lebih tanggungjawab kepada pihak bank untuk membuat bayaran ganti rugi ataupun pampasan kepada pemilik-pemilik akaun yang hilang duit akibat scammer.
Jelas Perdana Menteri, kajian yang dibuat dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) akan mengkaji kaedah berkenaan agar ia diperketatkan.
“Pihak bank juga turut bertanggungjawab kalau didapati tidak benar-benar cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi,” katanya. – WILAYAHKU