WALAUPUN reda dengan banjir yang melanda negara ketika ini sehingga menyebabkan kerugian dan kenderaan tidak dapat meneruskan perjalanan seperti dijadualkan, pengusaha bas akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.
Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Mohamad Kaharrudin Salleh berkata pengusaha bas tidak mampu mengelak daripada musibah ketika musim banjir kerana bencana alam bukan suatu perkara yang dirancang.
Katanya, sudah menjadi lumrah bagi pengusaha bas kadangkala berdepan masalah serta risiko pada musim tengkujuh, terutama melibatkan kawasan pantai timur.
“Pengusaha (bas) dan penumpang pun sudah sedia maklum (risiko). Memanglah dari segi masa, kerugian itu memang ada, tetapi kami kena terima (musibah), itu adalah senario di musim tengkujuh. Kami pun harap penumpang memahami keadaan semasa, perjalanan tertangguh dan bas tidak dapat beroperasi,” katanya kepada Bernama.
Beliau bagaimanapun berkata pengusaha bas akan memberikan perkhidmatan selagi mampu di kawasan yang berisiko, tertakluk kepada keadaan semasa, sama ada berisiko tinggi ataupun tidak.
Beberapa negeri berdepan dengan situasi banjir ketika ini iaitu Perak, Pahang, Terengganu, Selangor, Johor dan Kelantan menyebabkan beberapa jalan raya ditutup sama ada berpunca daripada kenaikan paras air mahupun tanah runtuh, yang jelas menjejaskan operasi pengusaha bas.
Pengusaha bas Ekspres Perdana Laili Ismail ketika dihubungi Bernama berkata bencana banjir yang berlaku di Pahang ketika ini merupakan pengalaman buruk untuk dirinya namun beliau reda.
Laili berkata sebuah bas miliknya terjejas teruk dalam kejadian di Raub, Pahang dua hari lalu apabila pemandu serta penumpang terkandas di kawasan Jeram Besu akibat paras air tinggi menyebabkan bas itu tenggelam separuh.
Setakat semalam, Laili berkata beliau dimaklumkan oleh pemandu bas bahawa penumpang masih terkandas, selain beliau tidak dapat menghantar kakitangannya ke kawasan itu akibat jalan ditutup.
“Bas terkandas tu dekat Benta, dekat Jeram Besu, disebabkan air naik merentangi jalan, jadi pemandu bas tidak boleh nak agak air dalam mana (paras air). (Pemandu) Cuba melintas, sangkut di tengah, enjin mati, jadi bomba pergi ambil penumpang.
“Bomba ambil (penumpang) dekat bas itu dengan perahu dan bot. Saya tengok air dah surut, nak pergi tunda, bawa balik ke bengkel. Bas terkandas dalam air, pertama kali berlaku kepada saya, 12 tahun jadi pengusaha bas, ini kali pertama terjadi seumpama ini,” katanya.
Laili berkata satu lagi kejadian melibatkan bas miliknya di Terengganu yang terkandas akibat paras air tinggi menyebabkan laluan jalan raya terhalang.
“Masa memang lari, contohnya bas yang dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur bertolak 3 Jan, pada 9.30 malam sangkut di Lanchang, Pahang disebabkan air (paras tinggi).
Bas tersadai, saya ingat lebih lima jam dekat Gambang sebelum meneruskan perjalanan ke TBS (Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur),” kata Laili yang juga pengusaha bas Darul Iman Express. – BERNAMA