Berita

Banjir: Penduduk harap jambatan gantung di Mentakab dibaiki segera

- Diterbit 13 Januari 2021 8:45 AM MYT

JAMBATAN gantung, dianggar berusia 50 tahun yang selama ini menjadi ‘nadi penghubung’ antara penduduk Kampung Mambang Berulang di Mentakab dengan bandar Temerloh rosak, dipercayai akibat arus deras dalam banjir yang berlaku pada 3 Jan lepas.

Keadaan itu memaksa penduduk kampung terpaksa menggunakan jalan penghubung lebih jauh dengan melalui kampung lain yang mengambil masa 30 hingga 40 minit berbanding hanya 10 minit dengan melalui jambatan gantung itu.

Bagi penduduk kampung berkenaan Mohd Bakri Tosin, 48, walaupun mempunyai laluan lain untuk ke bandar, penduduk termasuk anak-anak, lebih gemar memilih menggunakan jambatan itu untuk ke sekolah dan ke bandar memandangkan ia lebih cepat selain laluan alternatif lain mudah dinaiki air kerana berada berhampiran kawasan paya.

“Tetapi kini jambatan yang menjadi laluan utama telah rosak dan kami berharap supaya pihak berkuasa dapat membaikinya dengan segera bukan sahaja untuk kemudahan penduduk, tetapi juga anak-anak untuk ke sekolah apabila sesi persekolahan dimulakan kelak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Lydiawati Hassan Busry, 38, berkata jambatan gantung itu turut menjadi daya tarikan kepada pelancong yang datang ke kampung itu untuk bergambar kenangan.

“Jambatan berkenaan pada asalnya diperbuat daripada kayu tetapi telah ditambah baik sekitar empat atau lima tahun lepas. Semasa banjir minggu lepas, kami di sini juga terputus hubungan kerana jambatan runtuh dan laluan darat dinaiki air, menyebabkan bantuan makanan perlu dihantar dengan menggunakan bot,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman ketika dihubungi berkata pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu dan akan melakukan lawatan ke kawasan berkenaan dalam masa terdekat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas