WK2

Bangunkan pusat kitar semula bersepadu

- Diterbit 28 Jun 2019 1:35 AM MYT

ATAS inisiatif untuk memastikan Putrajaya mencapai tahap mampan dari segi Kadar Kenaikan Tahunan Kitar Semula, syarikat pengurusan sisa pepejal, Alam Flora Sdn. Bhd. menjalankan usahasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPJ) bagi membangunkan projek Pembangunan Fasiliti Kitar Semula di Presint 5, Putrajaya.

Fasiliti kitar semula berskala besar tersebut merangkumi Fasiliti Kitar Semula Bersepadu, Pusat Kitar Semula, Butik 3R, Hab Ilmu, perpustakaan
mini dan kawasan permainan kanak-kanak yang dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku ketiga tahun ini.

Menurut Pengarah Projek Alam Flora, Ismi Azura Istear Khan, pihaknya memperuntukkan kos sebanyak RM8 juta untuk melaksanakan projek berkenaan dengan PPJ menyediakan tapak pusat tersebut.

“Fasiliti ini akan berfungsi menerima dan memproses bahan kitar semula yang dikutip dan dihantar ke sini. Ia akan menerima semua jenis bahan kitar semula termasuklah kertas, plastik, besi, tin aluminium, kotak air minuman, minyak masak terpakai dan e-waste.

“Selain itu, ia juga memproses sebahagian besar bahan kitar semula yang diterima menggunakan mesin yang berkesan bagi meningkatkan kualiti dan nilai bahan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, fasiliti ini juga akan menjalankan sistem penimbangan bahan kitar semula yang telus dan bakal beroperasi pada setiap hari kecuali pada hari cuti umum tertentu.

“Alam Flora berharap dengan bermulanya operasi ini, ia bakal meningkatkan kadar kitar semula sedia ada secara sistematik sekali gus mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan serta mendidik
masyarakat tentang sistem pengurusan sisa pepejal bagi mencapai sasaran Putrajaya Bandar Hijau 2025,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas