Berita

Bangunan pentadbiran SM Sains Alam Shah musnah terbakar

- Diterbit 10 Jun 2025 10:00 AM MYT

BANGUNAN pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 pagi berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, Mohd Azizi Abdullah, tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian dengan bantuan BBP Jalan Hang Tuah, Cheras dan Sentul.

“Operasi melibatkan kekuatan seramai 44 orang anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) , dua unit tangki serta sebuah unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS),” katanya.

Bangunan terlibat menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail dan beberapa ruang lain.

“Kebakaran melibatkan keseluruhan tingkat tiga bangunan dengan anggaran keluasan 300 x 30 kaki persegi dan telah musnah 100%.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.08 pagi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 6:18 pagi,” katanya.

Jelas beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan oleh Unit Forensik Kebakaran JBPM Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas