Fokus

Balai Seni Negara hargai karya artis grafiti

- Diterbit 21 Julai 2023 12:30 PM MYT

BALAI Seni Negara turut mengangkat seni grafiti di mana hampir 10 buah karya grafiti merupakan sebahagian daripada pamerannya kini.

Sehubungan itu, menerusi Program Out For Fame yang diadakan di Art Depot baru-baru ini, Balai Seni Negara turut melancarkan katalog Malaysian Graffiti Artist Database (MAGAD).

BAKHTIAR

Menurut Kurator Kanannya, Bakhtiar Naim Jaafar, MAGAD merupakan inisiatif yang diambil oleh pihaknya dalam merekod, merakam serta mendokumentasikan sejarah seni grafiti di Malaysia bermula Jun 2015.

“Ia bertujuan untuk melihat perkembangan seni grafiti dan perubahan dalam senario sebelum, masa kini dan akan datang.

“Menerusi program kali ini kita akan lihat hasil dokumentasi volume ketiga di mana edisi pertama pada tahun 2018 dan kedua pada 2021,” kongsinya kepada Wilayahku ketika ditemui pada Program Out For Fame anjuran Writersblock dengan kerjasama Balai Seni Negara.

Program tersebut bertujuan memperkenalkan seni grafiti kepada masyarakat umum sekali gus mendekatkan mereka untuk memahami seni yang kini dilihat sebagai trend dalam kalangan belia.

“Inisiatif seperti ini juga memberi ruang dan peluang kepada anak seni tempatan mengetengahkan karya kreatif mereka serta menjadi medan perkongsian ilmu di antara artis lama dan juga baharu.

“Kini melalui medium yang lebih baik, galakan serta sokongan positif yang diberikan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat produk dan pengiklanan, artis-artis grafiti ini dapat membawakan mesejmesej membina juga memberi imej berbeza dengan tanggapan negatif mengenai seni tersebut,” ujarnya program tersebut merupakan antara usaha Balai Seni Negara dalam mengangkat seni urban dan grafiti.

Tambahnya, bersempena ulang tahun ke-65 Balai Seni Negara, Writersblock telah menjemput seramai 65 pelukis seni grafiti yang terdiri daripada artis tempatan dan Singapura untuk membuat lukisan grafiti secara langsung sepanjang dua hari program berlangsung.

“Pemilihan artis adalah daripada Writersblock melibatkan percampuran antara yang lama dan baharu di mana kita dapat lihat di sini mereka bersatu sambil membuat grafiti serta enjoy tanpa perbezaan umur dan sebagainya,” katanya bagi mengangkat seni grafiti penganjuran Festival Antarabangsa Meeting of Style bakal diadakan di Pulau Langkawi dalam tahun ini.

Bakhtiar berharap lebih ramai pelapis terutama daripada golongan muda meneruskan serta mengembangkan lagi seni grafiti di Malaysia tambahan pula sudah ramai artis tempatan grafiti negara ini yang sudah bertaraf dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas