Berita

Baki Belanjawan 2023 perlu dihabiskan sehingga hujung tahun ini – Ahmad

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 November 2023 7:10 AM MYT

KERAJAAN masih mempunyai baki bagi Belanjawan 2023 membabitkan perbelanjaan pembangunan (DE) serta perbelanjaan pengurusan (OE) yang perlu dihabiskan sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata baki peruntukkan yang disalurkan melalui belanjawan itu melibatkan pembangunan sebanyak 18% dan 8% pula adalah pengurusan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM388.1 bilion.

Katanya sehingga Khamis lepas (23 November) 26 kementerian sudah menggunakan 82% untuk perbelanjaan pembangunan dan 92% perbelanjaan pengurusan.

“Oleh itu, kementerian yang ada perlu menghabiskan 100 peratus baki daripada Belanjawan 2023 yang membabitkan perbelanjaan pembangunan dan pengurusan berkenaan sebelum 31 Disember depan.

“Bagi Belanjawan 2024 pula, ia berjumlah RM393.8 bilion menyaksikan sebanyak RM303.8 bilion disalurkan kepada perbelanjaan pengurusan (OE) manakala baki RM90 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Kesedaran Jantung di Dewan Muafakat Benut di Pontian, hari ini.

Sementara itu, berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022, beliau kesal dengan ‘kehilangan’ RM681.71 juta wang awam dan menganggap ia satu kerugian yang besar apabila rakyat menaruh harapan agar projek yang dirancang kementerian dapat dilaksanakan.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata berdasarkan laporan LKAN 2022 itu, kesemua 26 kementerian perlu mengambil ingatan bagi perbelanjaan tahun ini (2023) yang berada di bawah Kerajaan Perpaduan agar perkara itu tidak lagi berulang.

“Kementerian Kewangan (MOF) kesal dengan RM681.71 juta yang dilaporkan hilang itu. MOF susah hendak cari duit, tetapi jika sudah bocor atau hilang, ia merugikan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata kehilangan wang itu antaranya berkaitan dengan pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan baja, penyaluran subsidi dan intensif pesawah tidak optimum, kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan penggantian pelupusan senjata api. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas