TINDAKAN segelintir individu yang membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa perhimpunan ‘Gempur Rasuah Sabah 2.0’ disifatkan sebagai biadab, tidak beretika dan bertentangan dengan nilai budaya serta prinsip demokrasi yang matang.
Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki, berkata perlakuan itu tidak mencerminkan keberanian intelektual sebaliknya memperlihatkan kebencian politik melampau yang mencemar nama baik institusi pengajian dan mahasiswa itu sendiri.
“Kalau benar mahu jadi hero, masuklah gelanggang politik, berdebat secara terbuka. Bakar wajah pemimpin adalah budaya asing yang tidak beradab dan tiada tempat dalam masyarakat yang bertamadun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Insiden yang berlaku di Kota Kinabalu baru-baru ini menyaksikan sekumpulan mahasiswa, dipercayai dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), membakar karikatur Perdana Menteri sebagai simbol protes terhadap isu rasuah dan pelantikan politik.
Afdlin menegaskan bahawa kebebasan bersuara sebagaimana dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan lesen untuk mencetuskan provokasi atau menghina pemimpin negara secara melampau.
“Malaysia Madani bukan medan menyemai api kebencian, sebaliknya menyeru kepada intelek, adab dan hujah yang membina. Kritikan mesti disalurkan melalui cara yang sah dan terbuka, bukan dengan perbuatan provokatif,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan awam dan merosakkan imej mahasiswa serta institusi pengajian tinggi.
“Ini bukan soal menentang rasuah semata-mata, ini soal bagaimana kita membina masyarakat yang matang dan bijaksana dalam menyuarakan pendapat. Budaya politik kebencian tidak seharusnya dijadikan rujukan generasi muda,” katanya.
Afdlin turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang sedia ada agar insiden seperti ini tidak berulang.
“Kita mesti menghantar mesej jelas bahawa dalam Malaysia Madani, keberanian tidak lahir daripada api kebencian, tetapi dari kebijaksanaan rakyat menjunjung nilai kesederhanaan, hormat dan keadilan,” katanya.-WILAYAHKU