Berita

Bakal haji 2025 boleh semak semula kategori Bayaran Haji

HAJI adalah satu-satunya ibadah bagi orang yang berkemampuan. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Februari 2025 12:50 PM MYT

PASANGAN suami isteri yang bakal menunaikan haji tahun ini tetapi menerima penetapan Bayaran Haji berbeza, boleh membuat aduan kekilanan untuk semakan semula Kategori Bayaran Haji kepada Tabung Haji (TH) di cawang terdekat bersama bukti lengkap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata TH telah dan masih menerima permohonan rayuan bagi penukaran Kategori Bayaran Haji serta sedang dalam proses pelaksanaan penelitian permohonan berkenaan.

“Jemaah perlu membawa bersama bukit lengkap seperti rekod penerimaan bantuan kerajaan bagi golongan B40, status perkahwinan dan maklumat lain yang berkaitan ke cawangan TH yang berdekatan.

“Penetapan Bayaran Haji bagi bakal haji yang menerima tawaran adalah ditetapkan berdasarkan pendapatan individu,” katanya di Dewan Rakyat.

Mohd Na’im menjawab pertanyaan Abd Ghani Ahmad (PAS-Jerlun) berkenaan wujud perbezaan kos haji antara pasangan mahram yang terpilih menjadi jemaah muassasah bagi tahun 2025.

Menurut Mohd Na’im, kos haji yang diumumkan TH bagi musim 1446H/2025 bernilai RM33,300.

Bagaimanapun, bayaran haji bagi kumpulan B40 dan M40 adalah lebih rendah berbanding Kos Haji.

“Untuk makluman, sejak 2022 TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B4, M40 dan T20.

“Bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah termasuk dalam kumpulan B40.

“Bagi jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan M40,” katanya.

Penetapan Bayaran Haji bagi bakal haji yang menerima tawaran adalah ditetapkan berdasarkan pendapatan individu.

Namun penetapan Bayaran Haji bagi kes rayuan haji untuk pengiring termasuklah jemaah yang membuat rayuan sebagai mahram dan pengiring kepada jemaah lanjut usia atau kelainan upaya adalah bergantung kepada kategori bakal haji yang terpilih.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas