KADAR kemiskinan di negara ini didapati meningkat kerana ramai rakyat Malaysia jatuh dalam kancah kemiskinan selepas kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19.
Atas rasa tanggungjawab, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Maghfirah sekali lagi tampil membantu mengagihkan sumbangan kepada golongan sasaran.
Untuk itu, mengambil berkat bulan Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi, Yayasan Maghfirah melancarkan kempen Raikan Ramadan dengan tema ‘Berkongsi Rezeki, Manisnya Memberi’.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Yayasan Maghfirah, Muhammad Shuib Noruddin, pertubuhan itu mensasarkan sebanyak RM 5 juta untuk tahun ini bagi membantu golongan asnaf.
“Alhamdulillah dengan sumbangan orang ramai, pada Ramadan yang lepas, Yayasan Maghfirah telah berjaya mengagihkan bantuan Ramadan sebanyak RM 1.2 juta kepada golongan asnaf.
“Mereka terdiri daripada penduduk di 15 buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar lembah Klang, pusat perlindungan dan kebajikan, para petugas barisan hadapan, rumah anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz serta lain-lain dengan anggaran lebih 35,000 orang penerima manfaat.
“Hari ini, kami sekali lagi melancarkan Kempen Raikan Ramadan dengan mensasarkan pengumpulan dana sebanyak RM 5 juta untuk Ramadan akan datang.
“Kempen ini membuka ruang dan peluang kebaikan merebut keberkatan Ramadan kepada masyarakat Malaysia untuk berkongsi rezeki bersama keluarga asnaf dan golongan yang memerlukan di luar sana,” katanya kepada Wilayahku pada sidang media Pelancaran Kempen Raikan Ramadan di ibu pejabat Yayasan Maghfirah di Bangi, Selangor.
Shuib juga mengesahkan pertubuhan itu akan menyumbangkan bantuan Ramadan tahun ini ke negara timur tengah seperti Mesir dan Lubnan.

Menurutnya lagi, daripada jumlah RM 5 juta yang disasarkan itu, sebanyak RM 1.5 juta akan digunakan bagi membantu lebih 40,000 orang penerima manfaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
“Dana selebihnya akan diagihkan kepada yang layak pada bulan-bulan berikutnya sepanjang tahun 2022.
“Kami mengambil inisiatif memperkenalkan lima pakej yang ditawarkan bagi menjayakan Kempen Raikan Ramadan ini,” ujarnya lagi yang turut bekerjasama dengan beberapa selebriti seperti Johan As’ari, Fedtri Yahya, Hafiz Hamidun dan Azmi Saat yang dilantik sebagai duta.

Lima inisiatif pakej tersebut adalah Kongsi Rezeki, Infaq Quran, Ramadan Timur Tengah, 30 Hari 30 Sedekah dan Cabaran 1000 Bulan.
Selain itu, sempena Ramadan juga, buat julung kalinya, Yayasan Maghfirah akan menganjurkan Majlis Amal Maghfirah untuk meraikan golongan asnaf yang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar tahfiz dan pelajar-pelajar kelas Sahabat Al-Quran.
Mereka yang berminat untuk membuat sumbangan boleh hubungi 019-922 1236 (Puan Aliza).
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang yayasanmaghfirah.org – WILAYAHKU