KEMAJUAN dalam teknologi perubatan yang pesat berkembang kini bukan sekadar dapat merawat gejala tetapi mampu memberikan kaedah penyelesaian kepada pelbagai masalah seperti ketidaksuburan serta kebimbangan yang timbul daripada kelewatan dalam memulakan fasa berkeluarga.
Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dalam kenyataan memaklumkan rawatan kesuburan seperti persenyawaan in-vitro (IVF) boleh dipertimbangkan untuk menjadi satu daripada usaha bagi pasangan yang berhajat untuk mendapatkan anak dan ingin memastikan kehamilan dan bayi yang selamat dan sihat yang ditawarkan oleh Pusat Kesuburan Sunway SMCV yang dilancarkan bulan ini.
Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan SMCV Dr Ashley Chung Soo Bee dalam kenyataan itu berkata teknologi rawatan kesuburan amat efektif dalam membantu pasangan untuk hamil, dengan IVF merupakan satu daripada prosedur paling berkesan pada masa ini.
“IVF merupakan satu daripada pilihan terbaik jika anda dan pasangan mengalami masalah tiub Fallopio tersumbat, sejarah kerosakan pensterilan tiub, endometriosis, masalah ovulasi, kualiti atau fungsi sperma yang sudah terjejas, pensterilan lelaki, masalah kesuburan yang tidak dapat dijelaskan, masalah genetik atau sebagai cara pemeliharaan tahap kesuburan bagi pesakit kanser.
“Ujian genetik praimplantasi aneuploidies (PGT-A) atau ujian untuk mengesan sebarang abnormaliti pada embrio merupakan antara teknologi perubatan yang inovatif dalam rawatan masalah kesuburan. PGT-A merupakan ujian saringan yang dilakukan bersama prosedur IVF dapat menentukan sama ada sesuatu embrio itu sihat atau tidak,” katanya.
Dr Ashley berkata PGT-A boleh meningkatkan kadar kehamilan, mengurangkan risiko keguguran, risiko abnormaliti pada kromosom dan membolehkan embrio yang mempunyai kromosom normal dipindahkan ke dalam rahim atau dibekukan untuk kegunaan pada masa hadapan.
Menurut kenyataan itu, satu lagi teknik makmal terkini yang digunakan untuk prosedur IVF adalah suntikan sperma terpilih morfologi intracytoplasma (IMSI) iaitu proses magnifikasi akan dilakukan untuk mengenal pasti kecacatan pada kepala sperma yang tidak dapat dilihat melalui prosedur biasa dan menyuntik sperma yang berkeadaan normal ke dalam oosit (telur) untuk meningkatkan peratusan kejayaan persenyawaan.
Dr Ashley menasihati pesakit untuk menjalani pemeriksaan klinikal yang menyeluruh dan melakukan ujian darah bagi mengetahui punca kepada masalah ketidaksuburan sebelum memulakan prosedur IVF kerana rawatan itu adalah berbeza bagi setiap wanita.
Beliau berkata setiap wanita mengalami tindak balas berbeza kepada ubat-ubatan dan masa berbeza kerana ada yang mungkin berjaya hamil selepas hanya satu kitaran IVF, sementara yang lain mungkin perlu mencuba beberapa kitaran.
Sementara itu, seorang lagi Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan pusat perubatan itu Dr Farah Leong Rahman berkata tahap kesuburan lelaki menurun biasanya bermula apabila mereka mula memasuki fasa usia 40-an kerana ia mampu menjejaskan kualiti sperma yang dihasilkan.
Beliau berkata kesedaran mengenai masalah kesuburan dalam kalangan lelaki harus diketengahkan kerana faktor gaya hidup dan persekitaran seperti menghisap rokok atau ganja, pengambilan alkohol secara berlebihan, obesiti dan rawatan hormon boleh membawa kepada parameter sperma yang tidak optimum.
“Terdapat pelbagai punca yang boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan lelaki. Sesetengahnya disebabkan oleh faktor kongenital atau keturunan yang bermaksud masalah itu telah wujud sejak lahir lagi. Faktor lain seperti pembedahan, trauma, jangkitan, masalah testis, masalah kesihatan yang tidak dikenal pasti atau daripada ubat-ubatan tertentu. Setiap rawatan yang disyorkan bergantung kepada punca masalah ketidaksuburan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan sama.
Satu ujian sperma ringkas boleh dijalankan untuk mengumpul maklumat mengenai jumlah sperma, kelajuan serta bentuk sperma. Pemeriksaan lanjut seperti ujian hormon darah akan dilakukan jika perlu, bergantung kepada parameter sperma tersebut.
Beliau berkata individu yang mempunyai masalah untuk mencapai ereksi atau ejakulasi, sejarah pembedahan pada kemaluan atau rawatan kanser seperti kemoterapi perlu mendapatkan rawatan, bagaimanapun pesakit dinasihatkan untuk berjumpa pakar rawatan kesuburan sekiranya telah mencuba untuk mendapatkan anak selama lebih setahun tanpa sebarang simptom seperti yang dijelaskan.
Dr Farah berkata IVF boleh menjadi pilihan kepada lelaki dengan masalah jumlah kiraan sperma yang sedikit atau sperma tidak boleh berenang supaya doktor boleh mencari sperma yang paling sesuai melalui mikroskop dan menyuntik terus ke dalam telur untuk proses persenyawaan dengan peluang untuk mendapatkan kehamilan berjaya agak tinggi.
Terletak bersebelahan dengan Pusat Wanita dan Kanak-Kanak SMCV, kemudahan seluas 7,222.5 kaki persegi itu dilengkapi dengan kemudahan komprehensif seperti bilik konsultasi, bilik kaunseling, dewan bedah, bilik rawatan, bilik pengumpulan sperma, makmal andrologi, makmal embriologi, bilik pengawetan krio serta teknologi dan sistem terkini untuk pelbagai prosedur kesuburan dan sakit puan.
“Diketuai oleh Dr Farah dan Dr Ashley, perkhidmatan lain yang ditawarkan di Pusat Kesuburan Sunway di SMCV termasuk ujian penilaian kesuburan, inseminasi intrauterine (IUI), IVF dan suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI).
“Rawatan lain ialah ujian genetik praimplantasi (PGT), pengawetan krio, analisis penerimaan endometrium (ERA), pembedahan laparoskopi, rawatan untuk penyakit sakit puan dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Kesuburan Sunway di SMCV yang terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity di sini, sila hubungi talian pusat itu menerusi 019-2892390. — BERNAMA