PENGANJURAN Borneo Arts Festival (BAF) mampu memperkasakan semula naratif Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai satu medium bagi mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, penganjuran BAF menjadi signifikan buat Labuan kerana tahun ini merupakan tahun ke-10 ia dianjurkan oleh Perbadanan Labuan.
Festival terbesar itu menyediakan pelbagai jenis pameran dan persembahan seni seperti seni visual, muzik, seni tari, adat dan pelbagai bentuk ekspresi seni yang lain khususnya di Borneo dan seantero Nusantara.

“Ia bagi meraikan dan memajukan lagi seni budaya agar terus berkembang untuk diwarisi dan dihayati oleh generasi kini. Sudah tentunya festival ini dapat membentuk semula naratif Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
“Ia menyentuh tindakan bagi memupuk dan memelihara keperibadian nasional yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan bagi diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Borneo Art Festival (BAF) 2023 di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan Timbalannya, Ibrahim Tambi.
Mengulas lanjut, Simsudin berkata penganjuran BAF itu juga turut memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi pulau itu.
“Festival budaya dan seni tradisional dapat dijadikan tarikan utama untuk sektor pelancongan sekali gus mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara menjadikan Labuan sebagai destinasi mereka.
“Secara komprehensifnya, ia mencipta peluang perniagaan dalam sektor pelancongan seperti hotel, restoran, syarikat pelancongan dan kedai cenderahati selain mencipta pekerjaan dan pendapatan bagi komuniti tempatan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, BAF yang berlangsung selama tiga hari itu dihiasi dengan tiga pertandingan utama iaitu Pertandingan Tarian Kreatif Borneo, Pertandingan Tingkah Geruh dan Pertandingan Fesyen Kostum Kreatif Malaysia yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM60,000. – WILAYAHKU