Berita

Bacaan meter, waktu operasi kedai TNB seperti biasa sepanjang PKP

2.9 juta pengguna elektrik domestik di semenanjung Malaysia yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200 Kilowatt jam (kWJ), bakal menikmati diskaun 40 peratus.
- Diterbit 17 Mei 2021 3:42 AM MYT

DALAM usaha memberikan perkhidmatan terbaik dan secara berterusan , Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan meneruskan operasinya seperti biasa di sepanjang berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini. .

TNB menerusi kenyataan media memaklumkan, operasinya termasuklah kerja-kerja bacaan meter dan kedai Tenaga berjalan seperti biasa di dalam tempoh pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, baru-baru ini.

“Dalam usaha TNB memberi perkhidmatan yang terbaik secara berterusan kepada semua 9.4 juta pelanggan, sektor operasi TNB dijalankan seperti biasa sepanjang tempoh PKP yang bermula pada 12 Mei sehingga 7 Jun.

“Kerja-kerja bagi bacaan meter dan waktu operasi Kedai Tenaga akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan setakat ini,” kata TNB dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur.

Kenyataan TNB merujuk kepada pengumuman pelaksanaan PKP oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Dalam pada itu, TNB turut menyenaraikan lanjut maklumat berkaitan operasinya sepanjang fasa tersebut iaitu, pembacaan meter berjalan seperti biasa dengan mengikut SOP ditetap oleh pihak berkuasa bagi memastikan pengguna menerima bil sebenar dan bukan bil anggaran.

 

Jadual waktu operasi Kedai Tenaga (KT) dan TNB kiosk layan diri

Selain itu jelasnya, mulai 12 Mei sehingga 7 Jun, waktu operasi Kedai Tenaga (KT) dari jam 9 pagi sehingga 4 petang setiap hari, kecuali di hujung minggu dan cuti umum.

Sementara waktu operasi kiosk layan diri disedia di KT pula adalah dari 8:15 pagi hingga 8 malam setiap hari di negeri-negeri bawah PKP. Manakala bagi KT di Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi negeri bawah PKP, waktu operasinya mulai 8 pagi hingga 5 petang setiap hari (kecuali cuti am).

Waktu operasi perkhidmatan TNB CareLine bagi talian 1-300-88-5454 dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. Untuk makluman, talian TNB Careline ini dan emel [email protected] disediakan untuk pertanyaan berkaitan akaun dan bil.

“Bagi urusan berkaitan gangguan bekalan elektrik pula, pengguna dinasihatkan menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine.

“Sebarang urusan transaksi termasuk semakan dan pembayaran bil, pengguna dinasihati untuk mengguna kemudahan perkhidmatan transaksi dalam talian seperti portal www.mytnb.com.my dan aplikasi myTNB bagi mengurangkan aktiviti
transaksi secara bersemuka,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas