PENYANYI dan pelakon Baby Shima akui masih terkesan dan sedih dengan tragedi nahas di Gerik sehingga meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.
Bagi pelantun lagu Roadblock Hatiku dan Bujang Sarawak ini, apa yang dilalui, khususnya ahli keluarga mangsa, bukanlah sesuatu yang mudah untuk diungkapkan.
“Pertama sekali saya nak ucap takziah buat keluarga mereka yang terlibat dalam kemalangan itu. Kalau saya sehingga ke hari ini rasa terkesan dan sedih dengan tragedi itu, bagaimana agaknya ahli keluarga mangsa? Tak boleh nak bayangkan.
“Saya harap mereka terus kuat, tabah dalam menghadapi dugaan besar ini dan segala urusan dipermudah.
“Saya tahu, ia tidak semudah yang diucapkan. Memang perit rasa apabila kehilangan orang tersayang, tambah pula selepas Aidiladha,” katanya.
Dalam pada itu, Shima berharap masyarakat mengambil iktibar dengan apa yang berlaku terutamanya pemandu kenderaan komersial seperti bas dan lori.
“Apa yang berlaku menjadi pengajaran buat semua.
“Buat semua pemandu, sentiasalah berhemah dalam memandu. Berhemah ini termasuk mempunyai sikap yang baik dalam memandu dan tahu bagaimana hendak mencegah kemalangan.
“Misalnya, kalau dah tahu memandu dengan laju boleh menyebabkan kemalangan. Jadi, janganlah buat. Nak laju sangat, nak kejar apa? Ingat, nyawa lebih penting.
“Dalam masa yang sama, berhemah yang saya maksudkan juga adalah merancang sebelum membuat perjalanan.
“Kalau dah tahu, nak kena sampai awal ke destinasi, geraklah awal. Barulah tak kelam kabut. Satu lagi, kalau dia rasa dirinya jenis mudah mengantuk, dapatkan tidur secukupnya atau berehat di hentian untuk segarkan diri semula,” katanya.
Shima juga mengingatkan para pemandu agar menggunakan telefon sesuai dengan situasi. Baginya, ‘kegilaan’ ramai masa kini terhadap telefon turut menjadi punca kemalangan.
“Saya merayu, tolonglah jangan main telefon apabila memandu. Kalau ada hal penting, selesaikan siap-siap atau berhenti di lokasi yang sesuai.
“Sedih saya apabila ada kes kemalangan disebabkan main telefon. Lupakanlah media sosial dan elakkan membuat panggilan ketika sedang memandu.
“Hanya disebabkan main telefon, akhirnya kemalangan melibatkan banyak pihak. Paling sedih, yang tidak bersalah turut menjadi mangsa. Jangan pentingkan diri. Patuhi undang-undang jalan raya. Ingat nyawa kita dan nyawa orang lain.
“Kalaulah semua orang berhemah dalam pemanduan, saya yakin kemalangan boleh dikurangkan,” katanya. – WILAYAHKU