Berita

Azeem impi raih debut Olimpik Paris 2024

- Diterbit 4 April 2024 3:56 PM MYT

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menjadikan Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai sasaran terbesarnya tahun ini sekali gus ingin mencapai impian meraih debut pada temasya sukan berprestij dunia itu.

Penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) yang mencipta sensasi pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia dan Sukan Asia Hangzhou 2022 berkata keinginannya adalah untuk terus mengharumkan nama negara.

“Saya mohon agar semua peminat tanah air mendoakan saya berjaya layak ke Olimpik. Itu adalah sasaran terbesar saya tahun ini untuk terus mengharumkan nama negara dan meletakkan Malaysia di persada dunia,” ujar pemenang pingat gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu.

Selain itu, atlet berusia 20 tahun itu juga merancang akan memulakan misi layak ke Paris 2024 yang dijadual berlangsung Julai ini sambil menjalani ibadah puasa.

“Selepas membuat persediaan rapi termasuk menyertai beberapa kejohanan di dalam dewan, perancangan saya adalah menumpukan perhatian kepada latihan selain menjalani ibadah puasa di perantauan.

“Kenapa saya dan jurulatih memilih untuk bertanding pada bulan Ramadan kerana saya yakin kondisi badan masih dalam keadaan yang terbaik walaupun sudah mula berpuasa untuk beberapa hari.

“Sekarang saya ada baki lebih kurang enam hingga lapan kejohanan untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris, baik melalui merit ranking dunia atau standard qualifying marks iaitu 10 saat (s),” ujarnya.

Cabaran Muhammad Azeem pada kejohanan di Atlanta ialah merakam masa di bawah 10.20s yang tidak begitu jauh daripada catatan musim terbaiknya tahun lepas iaitu 10.11s dan rekod kebangsaan miliknya 10.09s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022.

Sebagai rekod, atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu menduduki tempat kelima dalam final 100m Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand dengan catatan 10.25s dan mara sehingga pusingan pertama 100m Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary.

Februari lalu, Muhammad Azeem merekodkan 6.55s dalam acara 60m pada sebuah kejohanan di dalam dewan di Clemson Indoor Track & Field Complex, South Carolina.

Atlet muda itu turut memulakan musim baharu dengan bergaya selepas merangkul satu emas dan satu gangsa di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Di samping itu, pada kejohanan Yellow Jacket Invitational di Georgia Tech, pemegang rekod kebangsaan yang mewakili Universiti Auburn, Alabama itu menduduki tempat ketiga dalam acara 100m lelaki selepas mencatatkan masa 10.38s. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas