Selebriti

“Awak juga cuci kaki masuk rumah”… Fauziah Sarman sindir Ubai

- Diterbit 13 Oktober 2023 2:47 AM MYT

IBU Shila Amzah menyindir individu yang dipercayai menantunya  yang didakwa menumpang kemewahan anaknya.

Dalam sebuah hantaran dalam Instagram, Fauziah,55,  yang juga bekas isteri ND Lala itu mengaku terkilan dengan sikap menantunya, Ubai yang dipercayai selama ini.

“Untuk ‘orang luar’ yang pernah mak tatang bagaikan anak sendiri, terima kasih melayan mak begini.

“Untuk ‘orang luar’ yang baru memiliki Nurshahila terima kasih membuat kesimpulan yang hanya memenangkan diri kalian.

“Kita tiada beza, awak juga cuci kaki masuk rumah. Hati mak memang sudah dikisar halus. Mak bersuara demi maruah mak.

“Banyak rahsia yang mak simpan sorok selama ini demi namamu sebagai bintang popular,” katanya dalam Instagram tengah malam tadi.

Fauziah juga menyatakan Shila pernah berkata mahu banglo yang didiami mereka itu sekeluarga sebagai rumah pusaka.

“Tak perlu mengingatkan mak berkali-kali tentang itu kerana terserah untuk Nurshahila buat apa sahaja kerana ya rumah ini atas nama Nurshahila.

“Walaupun tahun lepas ketika abah lari, Nurshahila pernah cakap mujur rumah ni atas nama Shila, biarlah kekal jadi rumah pusaka, mak tinggal sampai bila-bila, jangan kisah abah tak ada, orang boleh sara mak. Ini janji Shila pada mak.

“Mak tidak pernah bantah andainya ‘rumah keluarga’ yang dilabel sendiri Nurshahila sebagai ‘rumah pusaka’ untuk dijual kerana mak sedar diri, rumah itu atas nama anak emak yang popular,” luahnya lagi.

Bukan itu sahaja, Fauziah juga mendakwa kecewa dengan kata-kata kesat yang pernah dilemparkan Shila kepadanya.

“Disebabkan rumah pusaka ni juga tergamak Shila mengeluarkan kata-kata kesat pada mak, tak tergamak mak nak tulis kata-kata itu. Allahuakhbar.

“Ya benar memang Shila tak halau mak tapi kata-kata Shila mak faham,” katanya.

Bagaimanapun, daripada tinjauan hantaran tersebut telah dipadam selepas meraih pelbagai komen negatif. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas