Berita

ATM sedia hantar Tentera Pengaman jika diberi mandat daripada PBB

Gambar hiasan
- Diterbit 2 November 2023 10:05 PM MYT

Oleh SYED HAZIQUE

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menghantar Tentera Pengaman (peacekeepers) ke Palestin jika mendapat mandat yang jelas daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata buat masa ini, tiada sebarang keputusan oleh PBB untuk menghantar Tentera Pengaman ke Palestin.

“Keputusan untuk menghantar trup tentera secara unilateral ke sesuatu kawasan bergolak bukanlah keputusan mudah dan memerlukan penelitian pelbagai pihak, termasuk Kementerian Luar Negeri, pandangan negara-negara sekitar yang dilanda krisis dan yang paling utama, perlu mendapat mandat yang jelas daripada PBB.

“Sehingga kini, Malaysia sentiasa komited dalam memberi sokongan terhadap usaha mencapai keamanan sejagat di bawah panji-panji PBB. Ini terbukti sejak tahun 1960, ATM telah terlibat dalam 37 misi, sama ada sebagai Tentera Pemerhati atau Tentera Pengaman, seperti misi pengaman di Congo, Somalia, Namibia, Cambodia, Bosnia Herzegovina, East Timor dan yang terkini di Lubnan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Tambah beliau, sehingga kini, pihak ATM masih terlibat dalam lima misi antarabangsa di bawah PBB iaitu satu Misi Pengaman di Lubnan (United Nations Interim Force In Lebanon, UNIFIL) mulai tahun 2007 dan empat Misi Pemerhati yang lain.

Namun, Mohamad Hasan menjelaskan pihak MINDEF melalui ATM sentiasa bersiap siaga, termasuklah pasukan Pengaman MALBATT yang bertugas di bawah UNIFIL, Lubnan.

“Pihak kementerian mengikuti secara dekat perkembangan di Palestin, dan bersedia memberi kerjasama penuh jika diperlukan bagi membantu urusan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan yang terkesan, di samping memantau tahap keselamatan anggota MALBATT di Selatan Lubnan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas