Berita

Atlet WiPers raih lima emas, persiap kontinjen ke SUKMA 2024

PASUKAN WiPers meraikan kejayaan mereka pada Karnival Bakat dan
- Diterbit 1 Julai 2023 2:00 AM MYT

PASUKAN Wilayah Persekutuan (WiPers) berjaya meraih lima emas, tiga perak dan enam gangsa dalam Karnival Bakat dan Pelapis Siri 1 2023 di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur yang diadakan pada 16 hingga 18 Jun lalu.

Penolong Pegawai Belia Dan Sukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Asrezza Abas berkata dua emas, satu perak, tiga gangsa disumbang oleh atlet memanah; dua emas, dua perak, satu gangsa dalam sukan angkat berat dan masing-masing satu emas, satu gangsa menerusi acara boling padang dan karate.

Menurut Asrezza, karnival itu merupakan gelanggang terbaik buat atlet muda mempamer aksi mereka selepas menjalani latihan dalam program pembangunan sukan peringkat negeri.

“Melalui Karnival Bakat dan Pelapis Siri 1 2023 juga kita dapat menilai keberkesanan program melalui pencapaian atlet dan saya percaya ketika ini Wilayah Persekutuan tidak ketandusan atlet memandangkan mereka telah menampilkan aksi terbaik sepanjang program berlangsung,” ujarnya kepada Wilayahku.

Asrezza menjelaskan usaha mengesan bakat baharu penting bagi mempersiap kontinjen untuk mengharungi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, selain menjadikan mereka atlet kebangsaan pada masa akan datang.

“Ketika ini juga pihak MSWP dalam usaha mempromosi sukan fizikal bagi menggalakkan anakanak muda untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut memandangkan kebanyakan daripada mereka lebih tertumpu kepada sukan digital khususnya selepas pandemik COVID-19,” ujarnya penganjuran karnival sukan itu dapat mengeratkan hubungan dan menyemarakkan budaya bersukan antara peserta terlibat.

Dalam masa sama, Asrezza memaklumkan hanya empat daripada 16 acara dipertandingkan dalam program pembangunan sukan negeri menerusi siri kedua karnival yang akan diadakan pada Ogos nanti.

Terdahulu, WiPers berada di kedudukan keempat secara keseluruhan manakala Kedah mengungguli siri pertama Karnival Bakat dan Pelapis selepas mengutip 11 emas, empat perak dan tiga gangsa diikuti Selangor (10 emas, 10 perak, tujuh gangsa) dan Sabah (lapan emas, tiga perak, empat gangsa). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas