PASUKAN silambam Malaysia melakar kejutan apabila berjaya merangkul 12 pingat emas sekali gus muncul juara keseluruhan di Kejohanan Silambam Terbuka Asia di Qatar baru-baru ini.
Presiden Persatuan Silambam Malaysia, Dr M Suraess berkata, enam atlet negara mempamerkan aksi cemerlang dengan masing-masing menyumbangkan dua emas menerusi kategori kemahiran individu dan tempur di Kompleks Sukan Doha.
Pemenang pingat emas itu terdiri daripada Prakash dalam kategori lelaki terbuka melebihi 60 kilogram (kg), Shastivena untuk kategori perempuan bawah 17 tahun (55kg-65kg) serta Leenasree (30kg-40kg), Kavithira (45kg-55kg), Darnisha (55kg-65kg) dan Ranishaa (melebihi 70kg) dalam kategori perempuan bawah 15 tahun.
Suraess berkata, tuan rumah Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing menamatkan kejohanan di tempat kedua dan ketiga.
“Kita mencipta sejarah dengan memenangi gelaran juara keseluruhan. Enam atlet kita yang pernah memenangi pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada Ogos lepas turut mengambil bahagian.
“Ia membuktikan keupayaan atlet untuk bersaing di pentas antarabangsa meskipun berdepan saingan negara yang lebih berpengalaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian ditunjukkan para atlet terbabit biarpun baru pertama kali menyertai kejohanan berkenaan dengan sasaran awal hanya enam emas.
“Mereka bertanding dengan baik di Qatar dan kita tidak menjangkakan atlet akan dapat semua emas dan muncul juara keseluruhan kerana kita sasar enam sahaja tapi dapat 12, iaitu dua kali ganda daripada sasaran.
“Seperti kita tahu, India merupakan nama besar dalam sukan silambam dan mempunyai ramai pemain hebat, begitu juga Qatar, ramai penyokong mereka hadir malah saingan juga sengit, tetapi atlet kita telah mempamerkan persembahan luar biasa. Biarpun ada dua atlet mengalami kecederaan, tapi mereka berjaya mengatasi kesakitan dan mendapatkan mata seterusnya menang,” katanya.
Suraess berharap prestasi baik itu akan diteruskan pada Kejohanan Silambam Terbuka Antarabangsa tahun depan dengan Pulau Pinang dijadualkan menjadi tuan rumah dan disertai kira-kira 12 negara, termasuk Eropah seperti Switzerland, Jerman dan United Kingdom.
Sementara itu, jurulatih pasukan, P Raveendran berkeyakinan anak didiknya mempunyai masa depan cerah dalam sukan berkenaan memandangkan kebanyakan mereka masih muda selain berpotensi untuk berkembang sekiranya mereka terus mempamerkan prestasi cemerlang di samping mengekalkan disiplin.
Bagaimanapun, mereka masih memerlukan lebih banyak pendedahan dan latihan bagi memperkukuhkan lagi kemahiran serta mengatasi rasa gugup terutama ketika berdepan dengan lawan yang mempunyai fizikal lebih besar.
“Untuk kejohanan ini, kita hanya ada masa dalam dua, tiga bulan saja untuk buat persediaan sebab sebelum ini kita beri fokus kepada SUKMA dan kejohanan antarabangsa di Sepang. Kita gunakan kesempatan itu untuk berlatih,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]