INISIATIF Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha membentuk generasi belia yang sihat, aktif dan bebas penyalahgunaan dadah dilihat sebagai langkah berkesan bagi melahirkan atlet yang cemerlang bukan sahaja dalam negara bahkan mampu mengharumkan nama negara ke arena antarabangsa.
Rata-rata atlet negara yang ditemui Wilayahku melihat inisiatif itu sebagai satu pendekatan berkesan dalam memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh jaringan komuniti dan memperkasa mentaliti juara dalam kalangan anak muda Malaysia.
Memberi pandangan tentang perkara tersebut, atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat, 26, menyifatkan langkah itu penting untuk melindungi masa hadapan golongan muda dan memastikan pembangunan sukan terus berada di landasan positif.


“Isu dadah dalam kalangan belia perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, tetapi juga membunuh potensi atlet muda yang sedang membina kerjaya.
“Penyalahgunaan dadah bukan saja merosakkan kesihatan, malah menghancurkan masa depan belia. Sebagai atlet, kami tahu pentingnya jaga tubuh dan mental. Dadah bukan jawapan, dan belia perlu sedar mereka ada potensi besar jika pilih jalan sihat,” katanya.
Atlet kayak, Khairul Naim Zainal, 25, pula berkata golongan belia harus melihat atlet sebagai contoh bagaimana disiplin dan gaya hidup sihat mampu membawa kejayaan.
“Kami sebagai atlet nak tunjuk yang hidup sihat tanpa dadah boleh bawa kita pergi jauh. Kalau nak berjaya dalam apa jua bidang, mental dan fizikal kena kuat, dan dadah akan musnahkan semua itu.
“Peranan rakan sebaya amat penting dalam menyokong inisiatif ini. Saya harap lebih ramai atlet tampil ke depan sebagai ikon dan inspirasi. Kita perlu jadi contoh kepada belia dengan menunjukkan bahawa hidup aktif, sihat dan bebas dadah itu bukan saja mungkin, tapi lebih hebat,” jelasnya.
Selasa lalu, KBS menegaskan komitmen dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dengan menggariskan pendekatan holistik dan bersepadu bagi memastikan usaha pencegahan, pendidikan dan pemulihan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pendekatan tersebut bukan sahaja menumpukan kepada aspek advokasi, malah merangkumi intervensi awal, pembangunan sokongan komuniti dan pengukuhan peranan rakan sebaya dalam membantu golongan belia yang berisiko.
“Inisiatif tersebut bertujuan untuk memastikan aktiviti hiburan belia berlangsung dalam persekitaran yang lebih selamat serta memperkukuh program pendidikan dan sokongan terhadap isu penyalahgunaan dadah. Ia adalah sejajar dengan nilai-nilai MADANI iaitu Kesejahteraan, Keyakinan dan Ihsan,” katanya.
Menurut Hannah untuk tindakan segera, pihaknya akan memperketatkan dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penganjuran konsert khususnya melibatkan genre muzik Electronic Dance Music (EDM).
“Penambahbaikan ini merangkumi mewujudkan Hydration Point bagi mengelakkan insiden dehidrasi dalam kalangan pengunjung termasuk penyediaan pasukan perubatan yang menyediakan perkhidmatan lengkap serta treler mesej kesedaran melalui poster dan video mengenai bahaya dadah dan tindakan yang perlu dilakukan oleh orang terdekat semasa berlakunya kecemasan.
“Selain itu, hospital siap siaga (standby) untuk menerima dan mengendalikan kes mangsa semasa berlangsungnya konsert dan penempatan unit anjing pengesan (K9) bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan konsert.
“Dalam masa sama, KBS juga menggalakkan semua penganjur konsert dan acara di fasiliti bukan milik kementerian untuk turut mengguna pakai SOP ini demi
memastikan keselamatan dan kesejahteraan belia dan pengunjung terjamin,” katanya.
Sebagai langkah bersepadu, beliau berkata Majlis AIDS Malaysia akan mewujudkan ‘Safe Space’ sebagai tempat rujukan maklumat mengenai bahaya dadah dan bahan terlarang untuk pengunjung. – WILAYAHKU