Berita

ASEAN 2025: sidang tumpu isu rakyat serantau

- Diterbit 8 Mei 2025 6:00 PM MYT

MALAYSIA kini berada di barisan hadapan untuk memacu Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 hingga 27 Mei ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan bahawa persiapan kini memasuki fasa akhir dan Perdana Menteri sendiri telah turun padang bagi memastikan kelancaran acara bertaraf serantau itu.

“Perdana Menteri menekankan penyelarasan rapi antara kementerian dan agensi merangkumi aspek logistik, keselamatan, protokol serta kawalan trafik bagi menjamin penganjuran bertaraf dunia,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Tema tahun ini, “Inklusiviti dan Kelestarian,” dipilih bagi mencerminkan keutamaan rakyat dalam kerangka kerjasama serantau.

Sebagai persediaan, Tunku Nashrul memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) di kawasan terbabit sepanjang tempoh sidang selain sektor swasta turut disaran melaksanakan dasar kerja dari rumah bagi mengurangkan tekanan ke atas infrastruktur awam bandar.

Menurut Tunku Nashrul, menerusi langkah strategik memperkukuh daya saing digital negara, Kerajaan Malaysia menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) yang akan berperanan sebagai badan penasihat tertinggi kepada dasar ekonomi digital negara.

“Majlis ini akan dihimpunkan daripada kalangan pakar industri, tokoh akademik, ahli dasar tempatan dan antarabangsa bagi memastikan Malaysia bukan sekadar mengikut, malah memimpin perubahan teknologi.”

“Penubuhan majlis ini dilihat sebagai satu anjakan dasar ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global berlandaskan prinsip kedaulatan digital, keselamatan siber, dan kemampanan ekonomi, ” kata beliau.

 

Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri turut mengadakan perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, bagi membincangkan pendirian ASEAN terhadap krisis kemanusiaan di Myanmar serta cabaran ekonomi serantau akibat dasar tarif Amerika Syarikat.

“Perbincangan ini juga menyentuh hubungan dua hala yang lebih erat susulan lawatan kerja terdahulu serta kesediaan kedua-dua negara untuk memastikan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN nanti,” ujar beliau.

Tambahnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dijangka memainkan peranan aktif dalam memacu penyelesaian konkrit bagi cabaran rantau ini – demi kepentingan bersama negara anggota dan rakyatnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas