AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Dalam satu kenyataam ASNB memaklumkan Permodalan Nasional Bhd (PNB) – yang merupakan pemilik ASNB – berkata jumlah agihan adalah sebanyak RM10.1 billion melibatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB berbesar hati apabila dapat memberi dividen yang paling kukuh sejak tempoh lima tahun lalu.
“Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi,” katanya dalam kenyataan.
Pada tahun lalu, agihan pendapatan dana ASB untuk tahun lalu adalah sebanyak 5.25 sen seunit.
Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.
Menurut kenyataan itu, prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan Ringgit.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 (3Q24 berbanding 3.3 peratus pada 3Q23), dengan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan menyumbang dengan ketara, dan pengukuhan Ringgit yang meningkat 14.9 peratus dari awal tahun sehingga November 2024 (YTD).
“Susulan daripada itu, Bursa Malaysia KLCI meningkat 10.0 peratus YTD24 selepas berhadapan sedekad prestasi lemah dengan 10-tahun KLCI sehingga 31 Disember 2023 sebanyak -22.1 peratus,” katanya.
Tambah Raja Arshad, walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh.
“Kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” katanya.-WILAYAHKU