ASIAN Supply Base (ASB) Sdn Bhd mengumumkan bakal membina sebuah terminal pertukaran kru (pekerja) minyak dan gas bernilai RM15 juta bagi memenuhi keperluan aktiviti keluar masuk kru minyak dan gas di perairan Labuan dan Sabah.
Projek terminal yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024 akan menempatkan pelbagai agensi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Kesihatan WP Labuan bagi memudahkan pengurusan dokumentasi pertukaran kru minyak dan gas.
Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhee, pembinaan terminal itu akan memberi manfaat dan meningkatkan ekonomi Labuan dengan kemasukan para pekerja minyak dan gas setiap hari.
Katanya, perkembangan positif ini dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan ke Labuan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi Labuan.
“Kami memberi tumpuan kepada perkembangan positif ASB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dan kami harus memastikan operasi terminal pertukaran kru minyak dan gas di pangkalan ASB berjalan dengan lancar.
“Kepulangan aktiviti penukaran kru ke Labuan akan memberi impak positif yang ketara di pulau itu, dengan ratusan kru tiba dan berlepas setiap hari sebaik pertukaran kru bermula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Terminal dan Pelancaran dua buah kapal Landing Craft Tank milik ASB iaitu ASB Marine 1 dan ASB Marine 3.
Beliau yang mewakili Ketua Menteri Sabah berkesempatan meninjau kedua-dua buah kapal Landing Craft Tank yang bakal digunakan oleh Petronas
untuk pengangkutan bekalan antara pantai dan luar pesisir serta projek Safina Fasa 1.
Hadir sama Pengerusi ASB, Datuk Suhaili Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Japar Esteban dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Mengulas lanjut, Phoong berkata ASB telah mendapatkan kemudahan pelayaran terus dari pelabuhan ASB bagi kru dan kapal ke fasiliti pelantar
minyak di perairan Sabah daripada kerajaan Negeri Sabah melalui pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah (PHEDNP) pada 22 April tahun lalu.
“Ia diselaraskan melalui Jabatan Imigresen Labuan, sekali gus memastikan pergerakan keluar masuk pekerja minyak dan gas ke pelantar minyak lebih lancar di sekitar Perairan Sabah,” jelasnya.
Terdahulu, ASB Sdn Bhd adalah sebuah (GLC) Sabah yang berpangkalan di Labuan mengendalikan pangkalan bekalan luar pesisir yang menyokong aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran (EDP) minyak dan gas di luar pantai Sabah dan Sarawak. – WILAYAHKU