Berita

Asam Pedas Huzz Power jadi tarikan, Hotel Tenera angkat nama wartawan

- Diterbit 15 Mac 2025 10:00 AM MYT

HARIMAU mati meninggalkan belang‚ manusia mati meninggalkan nama.

Peribahasa itu tepat untuk menggambarkan jasa ditinggalkan wartawan hiburan terkenal‚ Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih dikenali dengan panggilan Huzz dalam dunia penulisan tanah air.

Selepas sembilan bulan Allahyarham meninggal dunia akibat kanser usus pada 8 Jun 2024‚ namanya terus menjadi sebutan dan meniti di bibir insan-insan yang pernah menjalin kerjasama ketika hayat beliau‚ lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan Aidilfitri.

Bagi menghargai jasa yang dicurahkan‚ Hotel Tenera Bandar Baru Bangi memperkenalkan menu istimewa dalam bufet Ramadan iaitu Asam Pedas Huzz Power sempena nama wartawan legenda yang tiada galang gantinya itu.

ASAM Pedas Huzz Power sempena nama wartawan lagenda, Huzz

Menurut Pengurus Besar Hotel Tenera & Suites‚ Fadzly Hamzah‚ menu istimewa tersebut dibuat
sebagai penghargaan kepada Allahyarham Huzz kerana semasa hayatnya‚ beliau antara rakan media yang banyak memberi sokongan kepada Hotel Tenera pada peringkat awal beroperasi.

“Menu ini turut mendapat perhatian ramai‚ bukan sahaja kerana nama Allahyarham tetapi asam pedas menjadi antara juadah kegemarannya. Segala teguran dan cadangan yang diberikan Allahyarham untuk menambah baik rasa asam pedas ini‚ kami ambil untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Jasa beliau kepada hotel ini sejak ia dibuka akan terus dikenang dan menjadi kenangan yang tidak mungkin akan kami lupakan. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman‚” jelas Fadzly.

KENANGAN… Pengurus Kewangan, Hotel Tenera & Suites, Mohd Zaki Manan (kiri) bersama wartawan legenda, Allahyarham Huzz
PENGURUS Besar Hotel Tenera & Suites, Fadzly Hamzah (tiga dari kiri) bersama Allahyarham Huzz (tengah)

Dalam perkembangan lain‚ sempena Ramadan‚ lebih 200 pilihan menu yang disediakan hasil air tangan Cef Sahisal Azrul Mat Said iaitu Cef Eksekutif Hotel Tenera bermula dari lobi hotel di mana ia masih mengekalkan konsep geraigerai seperti di bazar Ramadan seperti tahun sebelumnya.

“Kami juga melakukan pembaharuan dengan menyediakan menu Nasi Dalca Lutut Kambing dan Kawah Gulai Raja Berangkat di mana menu ini dipelajari daripada peneroka Felda Kemahang‚ Kelantan. Kami naik taraf dan jadikan ia sebagai menu warisan Malaysia.

“Menariknya sepanjang Ramadan‚ pelanggan turut disajikan dengan durian Musang King yang menjadi tarikan utama bufet Ramadan Hotel Tenera Bangi yang sentiasa dinanti-nantikan saban tahun.

“Kami buat keputusan menawarkan raja segala buah itu setiap hari yang dibawa khas dari pengeluar tempatan di Pahang‚”katanya kepada Wilayahku.

ASAM Pedas Huzz Power resipi istimewa Cef Sahisal Azrul Mat jadi tarikan sempena bufet Ramadan Hotel Tenera

Antara hidangan bufet yang pasti membuka selera adalah Kari Kepala Salmon Jawa‚ Teriyaki‚ Lidah
Bakar Masih Terasa‚ Ikan Bakar Sumbat‚ Shellout‚ Rendang Tok Perak‚ Daging Asam Kunyit‚ Siput Sedut Masak Lemak‚ Urat Keting Asam Pedas‚ Sotong Goreng Simbah Percik‚ Daging Tetel Gulai Rebung dan Ikan Talang Gulai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas