KEPUTUSAN Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas dijangka akan memberikan kesan kepada Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, meskipun pendirian Malaysia tetap teguh dalam menyokong Palestin, ianya dijangka akan memberi kesan kepada Malaysia hanya sekiranya pentadbiran Presiden Joseph Biden menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu kerajaan asing yang benar-benar terbukti telah memberi sokongan berbentuk material (kewangan atau bahan-bahan berkenaan bagi kelangsungan operasi) Hamas atau Jihad Palestin Islam.
“Sebarang sekatan terhadap Malaysia juga mampu mempengaruhi penilaian Kerajaan AS dan syarikat-syarikat AS terhadap Malaysia, serta menjejaskan peluang-peluang pelaburan syarikat AS ke Malaysia.
“Kebarangkalian untuk RUU ini diluluskan di Dewan Negara dengan izin, Senate serta ditandatangani oleh Presiden Joseph Biden adalah tinggi berikutan kebanyakan anggota-anggotanya yang lebih bersifat pro-Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada waktu pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU tersebut bertujuan untuk mengenakan sekatan terhadap penyokong kumpulan pengganas Palestin atu dengan niat untuk mengenakan sekatan berkenaan dengan sokongan asing terhadap keganasan Palestin pernah diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat pada tahun 2021, namun RUU tidak berjaya mendapat kelulusan ahli-ahli Dewan Negara pada waktu tersebut.
Menurut Perdana Menteri, keputusan Kongres AS untuk meluluskan RUU ini adalah untuk memperlihatkan usaha berterusan Kongres AS supaya Kerajaan AS menekan mana-mana kerajaan asing atau pihak yang menyalurkan bantuan kepada Hamas.
“RUU ini juga dilihat sebagai salah satu unsur ugutan kepada pihak yang ingin membantu rakyat Palestin yang telah lama ditindas oleh rejim Israel.
Justeru itu, beliau berkata Malaysia akan meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan RUU ini sekiranya diluluskan.
“Malaysia juga akan terus menggesa AS untuk menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk keamanan antarabangsa, serta tegas dalam menghormati undang-undang antarabangsa dan konvensyen yang berkenaan, terutamanya untuk keadilan kemanusiaan,” katanya.
Ujar Perdana Menteri, pada masa yang sama, kegagalan Majlis Keselamatan PBB untuk mencapai kata sepakat dalam memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin amatlah mendukacitakan.
“Ia dalah mustahak untuk Malaysia terus mendesak PBB agar perlindungan kepada rakyat Palestin terjamin berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia juga akan meneruskan perjuangan mendapatkan hak dan usaha memberi perlindungan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin menerusi perbincangan bersama negara-negara yang sependapat, serta melalui pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti di peringkat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN, Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan United Nations,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata pertubuhan Hamas tidak pernah diklasifikasikan sebagai entiti atau organisasi penganas oleh Majlis Keselamatan PBB walaupun terdapat cadangan daripada Negara-Negara Barat untuk berbuat demikian.
“Untuk makluman Dewan, sekiranya Majlis Keselamatan PBB mengklasifikasikan sesebuah entiti sebagai satu organisasi penganas, Malaysia perlu meratifikasi pelaksanaan senarai sekatan (sanctions list) dalam penguatkuasaan undang-undang anti keganasan.
“Senarai sekatan ini diselia oleh Kementerian Dalam Negeri. Dalam masa yang sama, pendirian Kerajaan Malaysia adalah hanya untuk mengiktiraf sekatan yang diklasifikasikan oleh Majlis Keselamatan PBB dan bukan sekatan sehala (unilateral sanctions),” katanya.- WILAYAHKU