Selebriti

“Arwah Mak Tok begitu dekat dengan saya” – Lah Ahmad

Lah Ahmad
- Diterbit 13 Oktober 2023 1:06 PM MYT

BETULLAH kata orang, rindu yang paling menyakitkan adalah rindu pada yang telah tiada.

Begitulah yang dialami Lah Ahmad, 43, ketika menyanyikan lagu Di Pintu Syurga yang didedikasikan buat neneknya, Allahyarham Meriam Ahmad meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 102 tahun pada 13 September lalu.

Lah akui tidak dapat menahan sebak kerana terlalu rindukan arwah dalam Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya cuba sebaik mungkin untuk tidak menangis, tetapi gagal. Arwah Mak Tok begitu dekat dengan saya. Pemergiannya meninggalkan impak mendalam buat saya,” katanya.

Apa yang istimewa, peminat yang hadir ‘disajikan’ dengan lagu-lagu popular Lah dan tidak kurang juga lagu yang jarang dipersembahkannya.

“Ada juga lagu lama saya yang peminat tidak pernah dengar termasuk lagu dari album baharu yang didendangkan khas buat peminat.

“Sebelum ini saya merahsiakan identiti artis itu, jadi kehadiran Innuendo dan Ruffedge menambah rencah dan warna untuk persembahan pada malam tersebut,” katanya.

Kemunculan Innuendo dan Ruffedge membawakan lagu Belaian Jiwa mengembalikan nostalgia pada zaman kemuncak mereka dalam industri muzik dahulu.

Lah juga turut mempersembahkan lagu Khayalan dan Bila Rindu bersama Ruffedge.

Selain itu, antara lagu yang dibawakan Lah pada malam itu ialah Ayu, Adinda, Jatuh, Kerna Sayang, Kau Tercipta, Tunggu Kamu, Selamat Datang Cinta, Ulang tahun dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, dia membuat kejutan apabila turut membawakan lagu ‘cover’ Weak dan Glimpse Of Us yang memberikan erti peribadi buatnya.

Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta dianjurkan Rubbertapper Production House dan diiringi Orkestra Simfoni Universiti Malaya (UM). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas