PENIPUAN menggunakan penyebaran video dan imej palsu selebriti tertentu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dikesan berleluasa di negara ini.
Bayangkan para peminat melihat artis-artis kesayangan mereka menjual produk. Muka dan dialog artis tersebut saling tak tumpah dengan selebriti asal. Maka ramailah yang terpedaya.
Sebelum ini kecoh apabila penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan taktik terkini digunakan scammer yang dipercayai menggunakan teknologi AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.
Untuk itu, Wilayahku sempat menemu bual barisanartis bagi berkongsi sisi gelap kecanggihan teknologi pada hari ini.
Kerajaan peka isu penipu digital
PENYANYI dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun berharap pihak berwajib dapat mewujudkan satu undangundang yang seimbang bagi mengekang masalah
penyalahgunaan teknologi AI.
Menurut pelantun lagu Jodoh Berdua ini, apa yang digariskan nanti dalam masa yang sama tidak menyekat perkembangan teknologi, kebebasan bersuara, ekspresi
dan seni.
“Kita semua maklum kerajaan sedang mengambil serius terhadap isu ini kerana ia sebenarnya bukan hanya melibatkan selebriti tetapi juga kesannya kepada masyarakat.
Terima kasih kepada kerajaan kerana menitikberatkan isu ini dan tidak memberi peluang kepada scammer untuk terus menipu.
“Saya mewakili rakyat berharap, diwujudkan undangundang khusus agar dapat mengekang masalah tersebut. Bukan apa, setidak-tidaknya scammer tidak boleh terus menipu dan mengeksploitasi wajah dan suara artis,” ujarnya.
Dia tidak menolak, AI banyak membawa manfaat misalnya, kepentingan AI dalam perkhidmatan awam dapat meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
“ Sebaga i rakyat, kita bantulah kerajaan dalam memanfaatkan teknologi ini dengan tidak menyalahgunakannya. Apa kata, guna AI untuk kebaikan. Macam-macam kelebihan yang anda boleh dapat,” ujarnya.
Mudarat kepada selebriti
BAGI penyanyi popular, Haqiem Rusli, kemajuan AI banyak membantu dalam meningkatkan daya kreativiti terutama dalam pembikinan video, namun kelebihan
itu disalahgunakan kepada perkara negatif.
“Kita semua maklum, teknologi AI ini banyak kelebihannya namun ia turut mendatangkan kemudaratan kepada selebriti apabila ada pihak yang menyalahgunakannya.
“Akibatnya, ramai selebriti yang menjadi mangsa scammer apabila video memaparkan artis tersebut disunting pihak tidak bertanggungjawab bagi meraih keuntungan. “Apabila AI mampu menghasilkan imej atau video palsu yang menyerupai selebriti sebenar, ia digunakan untuk tujuan penipuan, manipulasi atau penyebaran maklumat palsu. Ini bukan sahaja merosakkan imej selebriti yang terbabit, tetapi juga mengelirukan dan menipu orang awam.
“Malangnya, terdapat ramai yang masih kurang pengetahuan tentang teknologi AI ini. Jadi mereka terpedaya dengan taktik penipuan digital,” katanya. Dalam pada itu, pelantun lagu Sangkar Derita ini berharap para peminat dan masyarakat berwaspada dengan scammer yang menggunakan AI untuk memperdayakan mangsa.
“Jangan percaya scammer. Jika anda lihat sesetengah selebriti menjual atau mempromosi produk, sila ke akaun media sosial rasmi mereka. Di situ anda dapat lihat sama ada produk yang dijual itu sah atau tipu.
“Masyarakat juga kena peka dengan pengumuman yang dibuat oleh selebriti dalam media sosial mereka. Jika video promosi produk itu didapati angkara scammer atau palsu, tolong sampaikan, sebarkan dan maklumkan kepada kaum keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan. Beritahu mereka apa yang dijual artis tersebut adalah taktik penipuan oleh scammer,” tambahnya lagi.
Pembeli dalam bahaya
PELAKON Zara Zya akui penyalahgunaan teknologi AI yang mengekspoitasi selebriti untuk mengaut keuntungan semakin berleluasa.
Bagi pelakon drama bersiri Segenap Takdir ini, budaya tersebut adalah sesuatu yang tidak sihat malah mengancam keselamatan rakyat.
“Apabila scammer menggunakan AI dengan memanipulasi selebriti, sudah tentu ada yang terpedaya atau percaya dengan apa yang dijual.
Sedangkan artis itu pun tak tahu tentang produk tersebut dan lebih bahaya jika ia tidak selamat digunakan.
“Sudahlah menggunakan wajah atau suara selebriti tanpa kebenaran, keselamatan atau kualiti produk pun belum tentu terjamin, apa yang boleh saya katakan, seronok ke makan duit haram?
“Bayangkan kalau produk yang dijual itu memudaratkan pembeli, pasti ada yang menyalahkan artis yang kononnya menjual produk itu.
“Situasi ini memang bahaya dan pihak berwajib perlu ambil tindakan segera. Kalau dibiarkan lamalama, penipuan akan terus berleluasa. Kesannya bukan hanya kepada artis tetapi juga orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Zara mengingatkan agar pihak tidak bertanggungjawab menghentikan segera untuk memanipulasi artis.
“Hendak bekerjasama dengan artis ini ada bermacam-macam cara dan kami selebriti memahami kehendak peniaga di luar sana.
“Janganlah aniaya orang lain demi kepentingan diri sendiri. Hari ini atau esok, mungkin anda terlepas. Lusa belum tentu. Jangan leka atau seronok sangat dengan apa yang anda lakukan. Setiap yang dilakukan pasti ada balasannya,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU