Selera

Aroma rempah warisan penambat selera

- Diterbit 9 Disember 2024 3:44 PM MYT

MENU ikan bakar menjadi penambat selera lebih-lebih lagi ketika tibanya waktu makan tengah hari. Kombinasi rempah ratus serta teknik pembakaran yang sempurna menjadikan ia pilihan utama sesiapa sahaja.

Bagi penggemar menu yang satu ini‚ anda pasti tidak asing lagi dengan hidangan yang disajikan di Zam Ikan Bakar‚ Cyberjaya.

Mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri makanan dan minuman (F&B)‚ antara keunikan ikan bakar di sini terletak pada resipi perapan warisan turun-temurun.

Menurut Pengurus Restoran Zam Ikan Bakar‚ Muhammad Fadhuli Mohd Zawawi‚ beliau mengekalkan penggunaan rempah ratus turun- temurun yang terdiri daripada halia‚ lengkuas‚ bawang putih dan serai yang mencukupi bagi rasa yang hebat.

“Selain itu‚ keunikan rasa air asam yang seimbang dari segi masam‚ manis‚ masin dan pedas juga menjadi antara kekuatan Zam Ikan Bakar.

“Rata-rata pelanggan yang mencuba menu ikan bakar memberikan maklum balas yang amat positif dan setiap kali habis waktu makan tengah hari memang ikan bakar akan licin‚” kongsinya.

Mengulas lanjut‚ Muhammad Fadhuli berkata pihaknya akan menerima stok ikan segar sebanyak 200 kilogram (kg) manakala untuk hujung minggu mencecah sehingga 500kg sehari daripada pembekal.

“Kesemua stok yang dihantar setiap hari akan habis sementara sebelah malam pula‚ kita akan menerima stok ikan baharu yang sampai pada sebelah petang.

“Jadi pelanggan memang akan menikmati ikan yang segar daripada kedai kita‚” katanya.

Menyediakan pilihan menu ikan bakar sejak lebih 25 tahun‚ Zam Ikan Bakar menawarkan lebih 10 jenis ikan bakar dan 70 pilihan lauk untuk dinikmati.

“Aroma ikan bakar dan pelbagai lauk-pauk tradisional pasti akan membangkitkan selera pengunjung yang singgah di sini.

“Kita mempunyai pelbagai jenis ikan bakar berempah seperti tilapia‚ kembung‚ cencaru‚ keli‚ gerut selain ayam‚ kerang dan sotong gergasi. Selain bakar‚ kita juga turut menawarkan menu makanan panas‚” ujarnya.

TEPATI CITA RASA

MULA berniaga sejak 1997‚ Muhammad Fadhuli berkata perniagaan tersebut telah melalui pelbagai proses penjenamaan semula dan merupakan antara gerai makanan terawal yang bertapak di Cyberjaya.

“Sebelum ini kita berniaga di kawasan hentian bas berhadapan Dpulze dan ketika itu tiada lagi pembangunan di sekitar kawasan ini termasuklah kedai makan pun tidak banyak pilihan.

“Antara yang membuatkan jenama kami masih kukuh sehingga kini adalah selain mengekalkan tekstur yang sama‚ kami juga mempunyai pelanggan yang setia sejak dulu kemudian disambung pula oleh generasi-generasi mereka.

“Di awal pembukaan kedai kami di kawasan CBD Perdana 2‚ Cyberjaya‚ kawasan ini agak sunyi dan kurang dikunjungi orang ramai jadi ada sedikit kerisauan buat kami pada hari pertama pembukaan kedai tambahan pula baru sahaja selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun alhamdulillah Allah sebaik-baik perancang‚ kami menerima jumlah pelanggan yang sangat luar biasa dan ia berterusan sehingga kini.

“Pembukaan kedai kami juga secara tidak langsung berjaya menghidupkan kawasan sekitar ini kerana bukan semua orang sanggup untuk beratur dan ada sahaja yang berpindah ke kedai berhampiran untuk menjimatkan masa‚” jelasnya perniagaan tersebut bermula dengan satu unit kedai sahaja dan kini telah dilebarkan sehingga tiga unit kedai dan mampu memuatkan sehingga 400 pelanggan dalam satu masa.

Menurutnya‚ restoran yang berkonsepkan layan diri itu menjadi pilihan pelbagai bangsa termasuk pelancong luar negara seperti Singapura‚ Korea dan sebagainya. – WILAYAHKU

INFO:

Alamat: Lot 4806-0-09 CBD PERDANA, 2, Jalan Perdana, 63000 Cyberjaya
Waktu Operasi : Isnin hingga Sabtu (10.30 pagi sehingga 11 malam), Ahad (Tutup)
Harga: Bermula RM10 sehingga RM60 (mengikut saiz, jenis dan harga pasaran)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas