SETIAUSAHA Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menegaskan dakwaan terdapat arahan untuk menghapuskan tulisan Cina pada papan tanda di Jalan Petaling adalah tidak benar dan tidak berasas.
Beliau berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan perkara tersebut.
“Kerajaan sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan identiti setiap kaum di Malaysia, selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang negara ini.
“Pihak yang menyebarkan dakwaan tidak berasas ini harus bertanggungjawab dan memohon maaf kepada komuniti yang terkesan,” katanya.
Menurut Azman, sebagai pemimpin yang berpengalaman lama dalam arena politik, seharusnya semua pihak lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada umum.
Katanya penyebaran dakwaan yang palsu dan tidak tepat bukan sahaja mencetuskan keresahan, tetapi juga boleh merosakkan perpaduan dalam masyarakat.
“Dalam suasana politik dan sosial yang semakin mencabar, semua pihak perlu lebih berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan yang berpotensi memecah belahkan rakyat di negara ini.
“Hormatilah identiti dan warisan setiap kaum di Malaysia dan elakkan daripada menangguk di air yang keruh hanya semata-mata untuk meraih kepentingan politik sempit,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata kepelbagaian budaya dan identiti kaum sentiasa diraikan dalam semangat perpaduan seperti termaktub dalam ikrar Rukun Negara yang sekian lama dihayati bersama.
“Oleh itu, kita harus bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan ini dan tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak yang cuba memainkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian bersama.
“Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam memastikan perpaduan masyarakat terus terpelihara daripada sebarang ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Azman turut menyeru semua pihak agar menyemak fakta sebelum berkongsi maklumat dan memastikan setiap informasi yang disebarkan diperoleh daripada sumber yang sahih. – WILAYAHKU