Berita

APEC 2025 majukan Visi Putrajaya 2040

ANWAR ketika melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Xi Jinping di Great Hall of the People. Foto: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 19 November 2024 2:27 PM MYT

PRESIDEN China, Xi Jinping dijangka menggariskan dasar dan cadangan China untuk mempromosikan kerjasama Asia-Pasifik dalam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang diadakan di Lima, Peru dari 13 hingga 17 November ini.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata negara itu akan bekerjasama dengan semua pihak dalam memajukan pelaksanaan Visi Putrajaya 2040 secara menyeluruh dan seimbang, selaras dengan aspirasi pembangunan serantau yang mampan dan inklusif.

“Visi Putrajaya 2040 yang diperkenalkan pada Sidang Kemuncak APEC 2020 di Malaysia menetapkan matlamat jangka panjang untuk membentuk Asia-Pasifik yang lebih makmur dan sejahtera.

“Hala tuju ini dibina atas tiga keutamaan utama iaitu perdagangan dan pelaburan yang terbuka, inovasi digital serta pertumbuhan inklusif dan mampan.

“Melalui visi ini, APEC berhasrat mewujudkan persekitaran perdagangan bebas dan adil, merangsang inovasi ekonomi serta menggalakkan pembangunan yang menyeluruh dan mesra alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak penubuhannya lebih 30 tahun lalu, APEC telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Asia-Pasifik, dengan 21 ekonomi anggota yang kini merangkumi kira-kira 62 peratus KDNK dunia dan hampir separuh daripada perdagangan global.

Keberadaan China dalam forum ini semakin ketara terutamanya apabila perdagangan luar negara itu dengan ekonomi APEC lain mencecah AS$3.74 trilion (RM16.39 trilion) pada 2022, atau 59.7 peratus daripada nilai import dan eksport keseluruhan China.

Selain itu, kenyataan itu turut menyatakan bahawa penyertaan Jinping dalam sidang kemuncak berkenaan melambangkan kesungguhan China untuk memperkukuh kerjasama serantau di Asia-Pasifik.

“China juga telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan 15 negara APEC dan merupakan rakan dagangan utama bagi 13 ekonomi anggota, memperkukuh kedudukannya sebagai pemangkin perdagangan serantau.

“Selaras dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), China telah membangunkan projek infrastruktur seperti Pelabuhan Chancay di Peru yang akan dirasmikan bulan ini.

“Pelabuhan ini dijangka meningkatkan daya saing ekonomi Amerika Latin dengan membuka laluan perdagangan baharu dan berpotensi menjadi hab perdagangan utama di rantau berkenaan,” katanya.

Di samping itu, ulang tahun ke-10 Dasar Diplomasi Pemikiran Xi Jinping turut menjadi penanda penting dalam visi China untuk mewujudkan komuniti serantau yang berlandaskan keamanan dan pembangunan bersama.

Melalui pelbagai inisiatif global, termasuk Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global, China berusaha mengajak semua negara untuk bersama-sama menangani cabaran global dan mempromosikan pembangunan sejagat.

Selain menyokong perdagangan terbuka dan inovasi, APEC juga diiktiraf atas pencapaian dalam mengurangkan kadar tarif purata di Asia-Pasifik daripada 17 peratus kepada lima peratus, sekali gus menyumbang 70 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global.

Melalui pelaksanaan Visi Putrajaya 2040, sidang kemuncak APEC kali ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dan sosial di rantau ini, ke arah pencapaian matlamat pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk masa depan Asia-Pasifik yang lebih cemerlang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas