Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
KEGELISAHAN sehingga menyebabkan gangguan emosi bukan sahaja mengganggu kualiti kerja, bahkan menjejaskan kehidupan peribadi sehingga menyebabkan individu yang berdepan masalah tersebut berasa tertekan.
Berkongsi pengalaman menguruskan tekanan, Nur Syafiah Mohd Nizam, 28, yang juga merupakan pesakit anxiety berkata teknik pernafasan yang betul membantu dirinya dalam berdepan serangan tidak dijangka.
“Apa yang selalu saya amalkan adalah melakukan tenik pernafasan seperti tarik nafas selama tujuh saat, tahan nafas selama empat minit dan hembuskan nafas selama lapan minit. Ia sangat membantu untuk saya kembali bertenang.
“Namun sekiranya keadaan tidak terkawal dan pernafasan semakin teruk disarankan untuk memakan ubat atau terus berjumpa dengan doktor,” katanya.
Mula didiagnos sejak Mac 2023, Nur Syafiah berkata terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan berlakunya serangan panik.
“Biasanya bila stres, anxiety akan menyusul. Kalau saya overthinking dan ada benda yang serabutkan fikiran membuatkan diri ini lebih berisiko tinggi untuk terkena serangan panik.
“Setakat ini orang sekeliling ada yang faham namun ada juga segelintir mengatakan itu hanya ‘drama’ untuk meraih perhatian semata-mata. Saya faham kenapa mereka beranggapan sedemikian kerana anxiety ini bukanlah luka yang kita nampak tapi ia sejenis penyakit mental,” ujarnya.
Dia turut mengingatkan mereka yang mengalami penyakit tersebut untuk mendapatkan rawatan pakar secepat mungkin.
“Kita tak tahu bila serangan panik seterusnya akan berlaku dan jangan malu berjumpa dengan psikiatri kerana kita bukan gila. Paling penting maklumkan kepada keluarga dan juga kenalan terdekat mengenai keadaan diri sekurang-kurangnya mereka tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya.
Sementara itu, menurut Sharifah Kamaliah, 35, setiap pesakit berdepan dengan situasi yang berbeza.
“Kebiasaannya hal-hal berkaitan keluarga akan trigger serangan panik ini dan cara untuk atasinya adalah dengan mengambil ubat secara konsisten untuk mengawal diri, melakukan senaman dan elak mengambil pemakanan yang tidak bersesuaian,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sharifah berkata dia bersyukur dengan orang sekeliling yang cuba memahami keadaan pesakit anxiety.
“Pesakit anxiety ini banyak berfikir jadi sebagai orang yang berada di sekelilingnya perlu bijak dalam memberi sokongan moral serta menjaga percakapan agar tidak mengguris hati mereka,” pesannya. – WILAYAHKU