Berita

Anwar umum peruntukan tambahan untuk Terengganu, Kelantan susulan banjir

- Diterbit 1 Disember 2024 11:02 PM MYT

KERAJAAN mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta, susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu akan digunakan bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.

“Tiba di Terengganu hari ini bagi melihat sendiri musibah banjir yang melanda dan diberi penerangan mengenai situasi terkini melibatkan kebajikan mangsa banjir dan status pusat pemindahan sementara (PPS).

“Diapit Menteri Besar Terengganu, saya terus ke PPS Sekolah Kebangsaan Telaga Papan Setiu yang menempatkan 269 orang mangsa dan menyantuni mereka sambil menyampaikan kotak bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau sempat bertegur sapa dan memberi pesanan kepada mangsa-mangsa banjir termasuk warga emas dan juga kanak-kanak di PPS tersebut selain meninjau sendiri kemudahan sementara yang disediakan untuk keselesaan semua.

“Moga peruntukan ini akan dapat membantu memulihkan dan membaiki kemudahan asas demi kesenangan rakyat yang terjejas dengan musibah banjir ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas