Berita

Anwar umum peruntukan RM13 juta untuk bantuan pasca banjir di Kedah

- Diterbit 21 September 2024 11:48 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM13 juta untuk bantuan pasca banjir di Kedah.

Beliau mengumumkan peruntukan itu selepas turun di Alor Setar, Kedah bagi meninjau tahap bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri itu.

Dalam tinjauan itu, Anwar turut menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

“Daerah Kota Setar sahaja diperuntukkan sejumlah RM3 juta, manakala bagi keseluruhan negeri pula RM10 juta.

“Peruntukan ini bagi memastikan semua kerosakan dan ganti rugi yang munasabah selepas banjir, dapat ditangani sesegera mungkin dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga meneruskan bantuan banjir menerusi peruntukan NADMA dan ICU masing-masing RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.

Beliau turut mengulangi arahan agar projek tebatan banjir yang sedang dijalankan di Kedah dipantau dengan teliti, supaya tidak berlaku sebarang kelewatan untuk mengurangkan impak banjir apabila projek tersebut siap nanti.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada semua yang terjejas juga memudahkan urusan jentera serta agensi terlibat dalam pengurusan banjir,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas